Memaparkan catatan dengan label Tazkirah Kasih Sayang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah Kasih Sayang. Papar semua catatan

Selasa, 18 Februari 2014

Salam Takziah Keluarga ADO

Saya bagi mewakili Gerakan Anak Terengganu Insaf ( GANTI ) mengucapkan takziah kepada Isteri, anak2 dan seluruh keluarga Allahyarham Hariff Rafany bin Wan Muda, ADO Pejabat Tanah Kuala Terengganu di atas pemergiannya kembali ke Rahmatullah. 


Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham bersama roh para solehin. Dan semoga seisi keluarga sabar dan tabah di atas musibah dan ujian yg telah berlaku ini.


Haji Ahmad Amzad Bin Hashim
Presiden GANTI

Isnin, 10 Februari 2014

Tersebarnya perlakuan keji dalam masyarakat

Oleh : DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Allah berfirman:
(إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ) [النور: من الآية19]
Maksudnya: Sesungguhnya mereka yang suka tersebarnya perlakuan keji zina di kalangan orang-orang beriman mendapat azab yang pedih di dunia dan di Akhirat

Tafsir

1. Perlakuan zina merupakan dosa terkeji melibatkan maruah manusia. Ia tersebar dan disebarkan dalam masyarakat oleh syaitan bertopengkan manusia menerusi pelbagai medium media masyarakat seperti televisyen dan majalah serta akhbar dan terkini media baru.

2. Setiap insan secara fitrahnya mempunyai keinginan seks. Ia dicipta oleh Allah dalam diri manusia lalu menjadi medium yang memberi ketenangan rohani dan kesihatan jasadi dan juga medium untuk lahirnya zuriat manusia.

3. Namun, kehendak nafsu batin manusia sepatutnya dilunaskan menerusi perkahwinan sah yang akan memberikan ketenangan sebenar, kesihatan dan melahirkan zuriat yang terbela menerusi sebuah institusi keluarga yang saling bertanggungjawab antara lelaki yang bergelar suami dan perempuan yang bergelar isteri.

4. Zina tidak memberikan ketenangan kepada jiwa sementelah merosakkan kesihatan. Zuriat yang boleh lahir kerana zina akan berada dalam lingkungan keluarga yang tempang kerana tiadanya pertanggungjawaban dari pihak lelaki.

5. Hari ini zina disebarkan untuk diterima sebagai satu norma hidup biasa ketamadunan manusia. Filem-filem barat dijadikan medium pendidikan seks bebas menerusi perlakuan mukaddimah zina seperti berdua-duaan, berpegangan tangan, berpelukan dan berkucupan. Ia ditonton bersama oleh seluruh isi keluarga tanpa segan dan silu lalu terbenih perasaan di hati bahawa ia adalah perlakuan biasa yang tiada salahnya.

6. Drama dan filem dibintangi dan diarah oleh orang Islam sendiri telah menjadi ejen menghalalkan perlakuan mukaddimah zina sebagai permulaan agar zina diterima sebagai sebahagian tamaddun manusia.

7. Majalah dan akhbar juga menjadi ejen penyebaran zina dan mukaddimahnya. Tidak sunyi satu akhbar arus perdana pun daripada berita sensasi artis bergambar separa telanjang. Ia dijual dan dibeli oleh seorang berkopiah atau bertudung lengkap.

8. Allah memperingatkan bahawa mereka yang suka perlakuan zina ini tersebar akan dikenakan azab yang sangat pedih. Bukan hanya di Akhirat, tetapi kepedihan itu akan dirasai juga di dunia. Keperitan di dunia boleh dirasai menerusi kehilangan ketenangan hidup dan gejala sosial seperti pembuangan atau pembunuhan bayi luar nikah.

Ust Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Isnin 10 Feb 2014

Rabu, 22 Januari 2014

SETIAP ANAK DILAHIRKAH FITRAH (SUCI), JANGAN MEMBESAR SEBAGAI FITNAH

TAZKIRAH KASIH SAYANG SESAMA KITA

Assalamualaikum Wrt Wb.

Anak merupakan satu anugerah rezeki yang teramat disyukuri oleh semua, dibelai, dimanja, didukung, diulit dan lebih hebat, tiada sebarang nyamuk mampu menghinggap atau merasa darah sekecil ini!

Dalam beberapa tempat Allah mengingatkan juga tentang fitnah yang berkait dengan anak.

Firman Allah (Surah Al-Anfal, 28):
وَاعْلَمُواْ أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلاَدُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.

FirmanNYA lagi (Surah Al-Taghabun, 15):
إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَاللَّهُ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cobaan (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar.


Perhatikan dua ayat ini, anak dirangkaikan dengan harta, dan dikaitkan kedua-duanya dengan fitnah, dan mengikut Tafsir Jalalain, fitnah di sini dimaksudkan dengan “menyibukkan/menyekat kamu semua dari perkara-perkara akhirat”.

Dalam satu hadis pula, Nabi SAW amat menggalakkan perkahwinan sehingga mendapat zuriat yang ramai. Rasulullah SAW bersabda:
((تَزَوَّجُوا الْوَلُودَ الْوَدُودَ ، فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُم))
“Kahwinilah wanita yang melahirkan anak ramai, dan yang memiliki kasih sayang yang tinggi, sesungguhnya aku berbangga dengan kamu (kerana umat yang ramai)”
(Hadis Riwayat Abu Daud 2050, An-Nasaei 6/65, Sahih Abu Daud 1789,
Sahih Ibn Hibban 9/4056, Hasan Sahih dalam Kitab Al-Irwa’ 1784)

Para Anbiya’ (‘Alaihimus Salam) seperti dirakamkan di dalam Al-Quran, berdoa dengan penuh pengharapan agar diberikan zuriat, sebagai penyambung keturunan.
Firman Allah (Surah Al-Anbiya’, 89):
وَزَكَرِيَّا إِذْ نَادَى رَبَّهُ رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْداً وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ
Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: "Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri (tidak mempunyai zuriat keturunan) dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik (diserahkan segala urusan kepadaMU) .

Firman Allah (Surah Ali Imran, 38):
هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاء
Di sanalah Zakariya mendoa kepada Tuhannya seraya berkata: "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa."

Nabi Ibrahim A.S memanjatkan kesyukuran yang tinggi kepada Ilahi, kerana memperkenankan doanya dan dikurniakan dua orang anak yang soleh, dilantik menjadi nabi melalui perkahwinan dengan dua isteri iaitu, Sarah dan Hajar.
Firman Allah (Surah Ibrahim, 39):
الْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاء
Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.

Nabi SAW turut menerangkan bagaimana pentingnya anak selepas kematian ibu bapa kelak, iaitu dalam menyalurkan pahala tanpa putus walaupun kedua-duanya telah tiada hasil daripada anak yang soleh yang sentiasa mendoakan mereka.

((إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ))
“Apabila wafatnya manusia, maka terputus darinya amalannya (pahala) kecuali dari tiga perkara (iaitu) dari sedakah jariah (pahala yang mengalir), ilmu yang bermanfaat (kepada manusia lain yang masih hidup), atau anak soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepadanya”.
(HSR Muslim No. Hadis 4310)

Turut diceritakan dalam hadis, bahawa Nabi SAW menitiskan air mata ketika kematian anak lelakinya yang bernama Ibrahim, sambil bersabda:

((إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ وَلَا نَقُولُ إِلَّا مَا يَرْضَى رَبُّنَا
وَإِنَّا بِفِرَاقِكَ يَا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ))
“Sesungguhnya mata itu menangis, hati pula bersedih, kami tidak mengatakan kecuali apa yang diredhakan oleh Tuhan kami, dan kami semua disebabkan perpisahan dengan kamu ini, Ya Ibrahim (anak Nabi SAW) teramatlah sedih”
(HSR Bukhari No. Hadis 1220)

Jika anak adalah fitnah, kenapa para Anbiya’ termasuk Nabi SAW amat menitikberatkan kewujudan zuriat?

Ini jelas membuktikan anak sebenarnya adalah fitrah manusia, yang mana semua menginginkannya, justeru untuk memastikan anak membesar sebagai Fitrah dan bukan membesar sebagai Fitnah adalah tanggungjawab besar bagi semua ibu bapa.

Pelbagai petunjuk jelas diberikan Islam dalam membentuk anak menjadi soleh dan bermanfaat kepada ibu bapa kelak. Bermula dari dilahirkan dalam keadaan suci bersih dan berfitrah Islam, sebagaimana disebut dalam satu hadis:

(( كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلى الْفِطْرَة، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، وَيُنَصِّرَانِهِ، وَيُمَجِّسَانِهِ كَمَثَلِ الْبَهِيمَةِ تُنْتَجُ الْبَهِيمَةَ هَلْ تَرَى فِيهَا جَدْعَاءَ))
“Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanya menyahudikannya, atau menasranikannya, atau memajusikannya, sebagaimana haiwan melahirkan (mengeluarkan) haiwan, adakah kamu lihat padanya sebarang kecacatan (kekurangan/kelainan)”
(HSR Bukhari No. Hadis 1296, Muslim No. Hadis 6828)

Beberapa nasihat Luqman dalam mendidik anak, dirakamkan dengan jelas dalam satu surah, iaitu Surah Luqman. Antaranya:

Firman Allah (Surah Luqman, 13):
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."

FirmanNYA lagi (Surah Luqman, 17-18):

يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ
إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
Hai anakku, dirikanlah shalat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحاً إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.

Nabi SAW turut mengajarkan kita cara terbaik dalam mendidik anak, yang mana istilah ini digunakan oleh orentalis dan sebenar berasal dari ajaran Nabi SAW, yang berbunyi “What You Give, You Get Back”, sebagaimana diceritakan dalam satu hadis:
Nabi SAW mencium Hasan (cucu Baginda SAW), ada bersama baginda SAW ketika itu seorang sahabat bernama Al-Aqra’. Sahabat itu berkata: Sesungguhnya aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi tidak pernah mencium seorang pun dari mereka!.
Nabi SAW bersabda:
(( مَنْ لَا يَرْحَمْ لَا يُرْحَمْ ))
“Sesiapa yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi”.
(Sahih Adab Al-Mufrad, Al-Bukhari, No Hadis 91)


Ciuman ibu bapa kepada anak mereka, menunjukkan kasih sayang dan anak akan dapat merasainya. Jadikanlah sunnah ini sebagai salah satu teknik dalam mendidik anak-anak kelak.

Dalam kegembiraan kita, menyambut kelahiran anak, diharapkan pesanan ini dapat memberikan sedikit gambaran tentang pentingnya penjagaan zahir dan batin bermula dari buaian sehingga anak ini membesar dalam satu aliran yang baik, kerana anak inilah yang bakal menjadi generasi pewaris dalam memastikan Islam tertegak di bumi ini pada masa hadapan.

Sebagai akhirnya, dinyatakan satu doa sebagaimana Nabi SAW sentiasa mendoakan Hasan dan Husin semasa masih kecil.

أُعِيذُكَ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّة وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّة
‘U’izuka/ki bikalimatillahit taammati min kulli syaitonin wa haammatin, 
wa min kulli aynin laammah
Aku memohon perlindungan kpd budak lelaki/budak perempuan ini, dengan kalimah Allah yang sempurna, daripada syaitan dan bisikannya, dan daripada mata yang menyihir (panahan sihir melalui pandangan mata).


Sedikit nasihat kepada mereka yang masih ternanti-nanti dalam menunggu rezeki zuriat daripada Allah SWT, fahamilah satu zikir yang disunatkan dibaca setiap kali selepas solat yang berbunyi:

(( اللهم لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدّ ))
“Ya Allah, tiada yang menegah kepada apa yang telah Engkau berikan, dan tiada apa yang memberi kepada apa yang telah Engkau tegahkan (sekat), tiadalah manfaat orang yang mempunyai kelebihan (harta, keturunan dan kekuasaan) dengan kelebihannya itu daripada kekuasaan Allah”

Khamis, 16 Januari 2014

Bab 9 : Mencuri (Sariqah)


PENCURI

Pencuri ialah mengambil harta orang lain dengan cara bersembunyi dan diambil daripada tempat pertaruhan (tempat yang layak untuk menyimpan harta itu). Mencuri itu adalah salah satu daripada dosa-dosa besar dan mewajibkan potong tangan ke atas si pencuri itu.
Sebagaimana dengan firman Allah yang bermaksud:

”Pencuri lelaki dan pencuri perempuan hendaklah kamu potong tangannya sebagai balasan pekerjaan, dari siksaan daripada Allah, Allah maha perkasa lagi maha bijaksana”
(Surah Al- Maidah ayat 38)
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
”Tidak dipotong tangan seseorang pencuri itu kecuali seperempat dinar atau lebih daripada nilai wang mas”
(Riwayat Bukhari Muslim)
CIRI –CIRI PERBUATAN MENCURI
1. Memindahkan secara bersembunyi harta alih dari jangkaan atau milikan tuannya.
2. Pemindahan harta itu tanpa persetujuan tuannya.
3. Pemindahan harta itu dengan niat untuk menghilangkan harta tadi dari jangkaan atau milik tuannya.

HUKUMAN HUDUD YANG WAJIB DIKENAKAN KEATAS PENCURI
1) Mengikut peruntukkan hukum syarak yang dikuatkuasakan dalam Qanun jenayah syar’iyyah, orang yang boleh didakwa dibawah kesalahan kes sariqah (mencuri) dan wajib dikenakan hukuman hudud ialah:-
i) Orang yang berakal
ii) Orang yang baligh
iii) Dengan kemahuan sendiri

2) Pencuri yang gila atau kanak-kanak atau orang yang kurang akalnya (tidak siuman) tidak wajib dikenakan hukuman hudud, sekalipun mereka itu mengambil harta atau barangan orang itu secara bersembunyi dengan tujuan untuk memiliki harta atau barangan itu. Sebagaiman Hadirh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
”Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia iaitu orang yang tidur hingga ia bangun dari tidurnya, kanak-kanak hingga ia baligh dan orang gila hingga ia berakal (siuman)”
(Riwayat Ahmad, Ashabi, Sunan dan Hakam)
3) Orang yang dipaksa mencuri dengan cara kekerasan, misalnya orang yang diancam dan diugut akan dibunuh jika tidak mahu mencuri. Sebagaimana hujjah Hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
”Sesungguhnya Allah menghapuskan dosa umatku yang tersalah, terlupa dan dosa mereka yang dipaksa melakukan sesuatu kesalahan”.
(Riwayat Ibnu Majah dan Baihaq’i dan Lain daripada keduanya)

4) Orang yang terpaksa mencuri disebabkan tersangat lapar (kebuluran) atau terlalu dahaga yang boleh membawa kepada maut tidak boleh juga dikenakan hukuman hudud, kerana mereka yang dalam keadaan tersebut adalah termasuk dalam darurat yang diharuskan oleh syarak melakukan perkara yang dilarang. Kes ini adalah merujuk kepada Kaedah Fiqhiyyah yang bermaksud :

” Darurat (dalam keadaan yang memaksa) diharuskan melakukan perkara yang dilarang”.
(Al- Ashbah dan An – Nazha’ir)
Dalam perkara (3) dan (4) mereka itu terlepas dari hukuman hudud, tetapi hakim boleh mengenakan hukuman takzir keatas pencuri itu mengikut kea’rifan dan kebijaksanaannya.
PENCURI YANG TIDAK BOLEH DIKENAKAN HUKUMAN KESALAHAN SARIQAH
Pencuri yang tidak boleh dikenakan hukuman kesalahan sariqah ialah :-
1) Pencurian yang dilakukan secara khianat, iaitu orang yang mengambil harta atau barangan yang diamanahkan kepadanya. Mereka yang melakukan kesalahan tersebut tidak boleh didakwa dibawah kes sariqah (mencuri) dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud, tetapi mereka itu hendaklah didakwa di bawah kes kesalahan pecah amanah yang wajib dikenakan hukuman takzir.

2) Orang yang mengambil harta atau barangan orang lain dengan cara paksaan dan kekerasan.

3) Orang yang menyambar barangan orang lain sambil lalu, iaitu semasa berjalan atau atas kenderaan,termasuk juga penyelok saku.

4) Pencurian berlaku dimedan peperangan.

5) Mengambil buah yang tergantung di atas dahannya kerana tersangat lapar dan dahaga.

SABIT KESALAHAN MENCURI
1. Kesalahan mencuri boleh disabitkan dengan adanya salah satu dari bukti-bukti berikut:-
i) Ikrar (pengakuan)
ii) Keterangan dua orang saksi lelaki yang adil
iii) Sumpah yang mardud iaitu sumpah pencuri itu dikembalikan kepada orang yang mendakwa, jika orang yang didakwa tadi tidak mengaku, dimana mengikut keterangan orang yang mendakwa bahawa orang yang didakwa itu memang sebenarnya adalah mencuri.

2. Pencuri yang mengaku melakukan kesalahan mencuri memadai membuat pengakuan hanya sekali pengakuan sahaja dan pengakuan itu dibuat dimajlis dalam Mahkamah dihadapan hakim.
3. Untuk mempastikan kebenaran keterangan saksi-saksi bagi mensabitkan kesalahan seseorang itu mencuri, hakim hendaklah menyoal siasat saksi-saksi itu mengenai harta atau barangan yang dicuri, cara kecurian, tempat kecurian, masa kecurian dan lain-lainnya.
4. Hakim hendaklah juga menanyakan kepada saksi-saksi itu hubungan antara orang yang kena curi dangan orang yang mencuri.
PENCURI YANG DIKECUALIKAN DARII HUKUMAN HUDUD.
1) Jumlah nilai harta atau barangan yang dicuri itu kurang daripada satu perempat dinar atau tiga darham.

2) Untuk mensabitkan kesalahan mencuri itu tidak dapat dibuktikan mengikut yang dikehendaki.

3) Pencuri itu bukan orang yang mukallaf.

4) Tuan punya harta atau barang yang dicuri itu tidak menyimpan dan menjaga harta atau barangannya ditempat yang selamat daripada kena curi.

5) Pencuri itu belum lagi mendapat milik yang sepenuhnya keatas harta yang dicuri itu.

6) Harta atau barang yang dicuri itu bukan dari barangan yang berharga dan bernilai.

7) Harta atau barangan yang dicuri itu tidak memberi apa-apa faedah dan tidak bernilai mengikut hukum syarak seperti alat hiburan atau minuman yang memabukkan.

8) Pencurian yang dilakukan oleh orang yang memberi hutang ke atas harta atau barangan orang yang berhutang.

9) Pencurian yang berlaku itu dalam kedaan yang mendesak seperti didalam peperangan, dimasa sangat lapar dan dahaga.

10) Pencurian yang dilakukan oleh anak keatas harta atau barangan kepunyaan ibu bapanya hingga ke atas (datuk dan seterusnya).

11) Pencurian yang dilakukan oleh suami keatas harta atau barangan kepunyaan isterinya dan sebaliknya.

12) Pencuri itu mencuri harta atau barangan kepunyaan Baitul Mal.

HUKUMAN KERANA KESALAHAN MENCURI
Sesiapa yang melakukan kesalahan mencuri wajib dikenakan hukuman hudud sebagaimana yang dikehendaki oleh hukum syarak.
1) Mencuri kali pertama hendaklah dipotong tangan kanannya.
2) Mencuri kali yang kedua hendaklah dipotong kaki kirinya dan,
3) Mencuri kali ketiga dan berikutnya hendaklah dikenakan hukuman takzir dan dan dipenjarakan sehingga ia terbunuh.

Rabu, 15 Januari 2014

kecenderungan berfikir secara liberal

TAZKIRAH KASIH SAYANG SESAMA KITA

Assalamualaikum Wrt Wb

Saya agak khuatir dengan kecenderungan berfikir secara liberal yang dianggap tidak apa oleh sesetengah kita dikeranakan mungkin oleh kekurangan minat untuk mengikuti majlis-majlis ilmu atau kurang merujuk kepada ulama bagi mendapat kepastian sama ada sikap atau pandangan yang berlegar dalam kotak fikiran kita itu selari atau tidak dalam konteks ajaran Islam, atau setakat lojik akal kita yang singkat.

Semalam Ustaz Kamal Ali, di dalam Kuliah Maghrib di Surau (Masjid Lama) Durian Burung, Kuala Terengganu mendedahkan ada yang berani melontarkan pandangan sesat ini secara upload video syarahan mereka yang antara lain mengandungi ayat-ayat sesat seperti berikut:

"Kalau betul Allah haramkan babi, mengapa Allah ciptakan babi?" 

Atau 

"Semua agama sama sahaja, semua mengajar perkara yang baik.."

Atau

" Sama saja masuk kumpulan mana pun, semua cakap pasal nak perjuangkan Islam, liberal, nasionalis pun Islam juga"

Atau 

" Wasothiyyah ni maksudnya kita bersederhana dalam pegangan dan amalan Islam kita, tak perlu ikut semua, ikut adat-adat orang jer..Kalau ikut semua itu ekstrim, pelampau agama"

Sempena Maulid junjungan Besar kita nabi Muhammad s.a.w saya tertarik dengan soalan seorang sahabat saya semalam yang saya rasa berpunca dari ada di kalangan bukan Islam cuba menafikan agama Islam sebagai satu-satunya agama yang diredhai Allah SWT. Misalnya berkata Nabi Isa a.s beragama Kristian, Nabi Musa a.s beragama Yahudi dan seumpamanya. sedangkan jawapan dan kebersamaan semua nabi alaihissalaatuwassalam ini adalah terkandung jawapannya pada seruan yang satu kalimah tauhid yang benar tersimpul pada Surah Al Ikhlas yang selalu kita bacakan. Qul huwallaahu Ahad!

Saya cuba jawab sebagai orang biasa yang cetek pengetahuan moga diperkayakan oleh tambahan dari yang lebih memahami.

Sejak Adam a.s semua Nabi2 mengajak menyembah Tuhan yg Esa, Allah SWT. Hanya Allah SWT sebagai tempat mengadu dan meminta pertolongan. Allah SWT yg tidak beranak dan tidak pula ada yg memperanakkan. Ia tiada ibu bapa dan tiada anak pinak. (Tiada Tuhan Ibu, Tuhan Bapa, Tuhan Anak, Tuhan Sepupu). Dan segalanya yg ada di alam maya ini ada makhluk ciptaanNya, tidak pantas dijadikan sekutu dalam penyembahan atau wakil sembahan.

Inilah agama yg benar dan satunya yang direstui di sisi Allah SWT. Melalui Nabi2 dan Rasul Nya Allah SWT mengutuskan sebagsi pemberi Kesaksian (syaahidan), khabar yg baik kpd yg taat dan patuh kpd Allah SWT (mubashiran) dan pemberi amaran kepada yg derhaka enkar arahan dan melakukan apa yg dilarang Allah SWT. (Naziira).

Agama yg satu ini disebut Allah SWT sbg Islam. Innaddiina indallaahil Islam.

Sesuai dgn kelompok manusia dan zaman syariat dibawa oleh masing2 Nabi2 berubah nasikh dan mansuh sesuai kehendak Allah SWT melalui wahyu. 

Nabi Muhammad s.a.w adalah penutup para Nabi. Rasul dan nabi terakhir utk seluruh umat manusia dan jin, serta sekalian alam, bukan untuk kelompok tertentu sahaja atau tempoh masa tertentu sahaja. 

Wamaa arsalnaa ka illa rohmatallil aalamiin.

Tidak kami utuskan kamu (Wahai Muhammad s.a.w) melainkan sbg Rahmat Untuk Sekalian Alam. 

Syariat itu kekal sehingga lah hari akhir hayat dunia ini Kiamat Akbar.

Wallahua'lam.

Wssalam Wrt Wb.

Haji Ahmad Amzad Hashim
Presiden 
Gerakan Anak Terengganu Insaf - GANTI
GANTI TUNTUT PERUBAHAN

Selasa, 31 Disember 2013

Sedia dijual


Esok mula jual.
Roundnet : RM23 (S,M, L, XL)
RM25.50 (XXL)
Colar : RM33 (S,M, L, XL)
RM35.50 (XXL)
Muslimat : RM36 (S,M, L, XL)
RM38.50 (XXL)
10 ke atas potong RM4.

Esok pagi pukul 9 sampai rumah InsyaAllah. 1000 helai round neck, 500 berkolar dan 500 muslimah.






Ahad, 29 Disember 2013

TOKKU PALOH SEBAGAI IKON PERJUANGAN AGAMA DAN RAKYAT.

TAZKIRAH KASIH SAYANG SESAMA KITA

Assalamualaikum Wrt. Wb.

Sebagai membetulkan fitnah dan dalam masa yang sama membetulkan sikap sesetengah kita yang menjadikan tokoh-tokoh asing sebagai ikon perjuangan mereka dengan mengangkat nama-nama seperti ROBIN HOOD atau yg sekarang topeng Guy Fawkes yg mempelopory anarchist revolutionary, saya akan mengulas tentang tokoh tempatan pejuang agama dan rakyat, moga2 menjadi iktibar kepada kita semua bagaimana mendekati Allah SWT adalah dengan cara yang ditunjuk contoh oleh Perjuangan Rasulullah s.a.w yang turun ke medan, mengerah keringat baginda yang mulia di medan jihad, bekerja, mengajak manusia, dan bukannya dengan goyang kaki dirumah masing-masing sambil berdoa semata-mata mengharap keadaan akan berubah.

Saya memilih tokoh Terengganu yang terkenal sebagai Wali Allah yang tinggi maqamnya. Saya sendiri sejak kecil sentiasa diceritakan oleh bapa saya peranan wali2 Allah ini Tokku Paloh, Tokku Pulau Manis, Tokku Tuan Besar dalam menjaga kepentingan agama dan rakyat.

Saya memetik secara terus satu artikel dikeluarkan Utusan Malaysia supaya faham jiwa seorang Islam sepatutnya bersifat pejuang dan bahawa selama ini yang mencetuskan gerakan kemerdekaan negara menentang penjajahan adalah dari kelompok agamawan, tokoh2 ulama. Nasionalis hanyalah kumpulan yang terkemudian yang diwariskan kemerdekaan oleh British bertujuan mengekang kebangkitan Islam.

Saya merubah perkataan pejuang Melayu yang diletakkan oleh Utusan kepada pejuang Rakyat. Kerana saya percaya Tokku Paloh selaku wali Allah yang besar terlalu besar sumbangannya untuk dihadkan sumbangan sekadar untuk orang melayu atau mahu cuba dimomokkan Tokku Paloh sebagai pejuang nasionalis. Sedangkan beliau adalah keturunan mulia Rasulullah s.a.w yang tulen.

Cuba perhatikan petikan artikel ini :
" Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad."

Adakah catatan itu merujuk ciri perjuangan Islam atau ciri perjuangan nasionalis assabiyah? Kerana itu disamping saya mengedit sedikit apa yang saya nyatakan di atas, saya turut sertakan sama artikel asal. Fahami jarum musuh Islam yang menjenamakan perjuangan jihad tokoh2 Islam yang berkorban dengan ciri-ciri perjuangan bangsa, supaya boleh mereka dakwa bahawa selama ini yang berkorban dan berjuang adalah semata-mata mereka.

BERIKUT ARTIKEL BERKENAAN TOKKU PALOH, IKON PERJUANGAN GANTI

"Beberapa riwayat tulisan yang terdahulu daripada ini, termasuk percakapan lisan, ada memperkatakan tentang sumbangan tersebut. Bagaimanapun, saya menemui beberapa dokumen yang menunjukkan Tok Ku Paloh bukan berpengaruh di Terengganu saja, tetapi juga di Patani.

Hubungan beliau sangat erat dengan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu Kadi Jambu. Walau bagaimanapun, Haji Wan Ismail al-Fathani (lahir 2 Jamadilawal 1304 H/27 Januari 1887 M) dari segi perbandingan umur adalah peringkat cucu kepada Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M).

Tahun lahir Tok Ku Paloh itu sama dengan tahun lahir Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M). Beliau ini ialah datuk kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara Haji Wan Ismail al-Fathani, Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah kesinambungan hubungan yang terjalin sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan hubungan antara Tok Ku Paloh dengan ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Darah perjuangan Tok Ku Paloh dalam memperjuangkan Islam dan rakyat tidak dapat dinafikan mempunyai kesan tersendiri dalam tubuh Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam dan rakyat yang menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu perlu dilihat dalam konteks hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.

Tok Ku Paloh dirahmati berumur panjang. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun hijrah atau 100 tahun menurut tahun masihi.

Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.

Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik). Antara nama-nama tersebut, ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan Terengganu tetapi nama yang paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.

Pendidikan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berketurunan Saiyid. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.

Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac 2006).

Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu. Mereka juga sama-sama belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.

Dalam artikel ini saya terpaksa menjawab satu e-mel dari Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen yang ditemui ada tulisan meletakkan nama Wan pada awal nama beliau. Ada saudara pupu saya di Mekah memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan Syeikh Ismail al-Fathani (Pak De 'El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga berketurunan marga al-Aidrus.

Sejak dulu saya mengetahui ada catatan lain menyebut hal yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu juga termasuk marga al-Aidrus. Dengan keterangan ini bererti antara ulama Patani dengan ulama Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan keilmuan mereka juga ada perhubungan nasab.

Perjuangan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan rakyat. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan rakyat yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.

Katanya: Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.

Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.

Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun. (Ulama Terengganu, hlm. 184)

Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang Islam dan rakyatnya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana. Pengkhianat pun banyak. Rakyat kita, khususnya bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat terhadap agama Islam dan rakyatnya.

Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.

Tok Ku Paloh wafat pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.

Penulisan

Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada menyebut bahawa risalah 'Uqud ad-Durratain adalah karya Tok Ku Tuan Besar, berdasarkan cetakan tahun 1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun 1978 oleh Yayasan Islam Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang jauh lebih awal berupa selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul Dhiya' 'Uqud ad-Durratain, ia merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu, Telah mengeluar dan mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman bin Muhammad bin Zain bin Husein bin Mustafa al-Aidrus....

Di bawah doa dalam risalah itu dinyatakan kalimat, Tiada dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan terjemah ini melainkan dengan izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani. Tercap kepada 22 Ramadan sanah 1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M).

Yang dimaksudkan Ismail Fathani pada kalimat ini ialah Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Risalah cetakan ini saya terima daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail Fathani.

Beliau menjelaskan bahawa risalah itu diajarkan di Jambu, Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan risalah itu bernama Nik Wan Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober 2000). Ketika beliau menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal apa yang termaktub dalam risalah itu.

Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh yang sering diperkatakan orang ialah kitab yang diberi judul Ma'arij al-Lahfan. Sungguhpun kitab ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan.

Saya hanya sempat membaca tiga buah salinan manuskrip kitab itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai tasawuf.

Sebagaimana telah disebutkan, Tok Ku Paloh ialah seorang pejuang Islam dan rakyat. Beliau ialah penganut Thariqat Naqsyabandiyah.

Antara anak Tokku Paloh ialah Saiyid Aqil bin Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang bertanggungjawab mentashhih dan menerbitkan kitab nazam Kanz al-Ula karya datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan Mathba'ah al-Ahliyah Terengganu, 1347 H."

Moga-moga kisah ini jadi teladan baik untuk kita.

Wassalamualikum Wrt. Wb.

Dengan hormatnya

Haji Ahmad Amzad Hashim 
Presiden 
Gerakan Anak Terengganu Insaf - GANTI
GANTI dengan yang lebih baik.

Masa

Popular Posts

 

© 2013 Gerakan Anak Terengganu Insaf [ GANTI ]. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top