TAZKIRAH KASIH SAYANG SESAMA KITA
Assalamualaikum Wrt Wb.
Anak merupakan satu anugerah rezeki yang teramat disyukuri oleh semua, dibelai, dimanja, didukung, diulit dan lebih hebat, tiada sebarang nyamuk mampu menghinggap atau merasa darah sekecil ini!
Dalam beberapa tempat Allah mengingatkan juga tentang fitnah yang berkait dengan anak.
Firman Allah (Surah Al-Anfal, 28):
وَاعْلَمُواْ أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلاَدُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.
FirmanNYA lagi (Surah Al-Taghabun, 15):
إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَاللَّهُ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cobaan (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar.
Perhatikan dua ayat ini, anak dirangkaikan dengan harta, dan dikaitkan kedua-duanya dengan fitnah, dan mengikut Tafsir Jalalain, fitnah di sini dimaksudkan dengan “menyibukkan/menyekat kamu semua dari perkara-perkara akhirat”.
Dalam satu hadis pula, Nabi SAW amat menggalakkan perkahwinan sehingga mendapat zuriat yang ramai. Rasulullah SAW bersabda:
((تَزَوَّجُوا الْوَلُودَ الْوَدُودَ ، فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُم))
“Kahwinilah wanita yang melahirkan anak ramai, dan yang memiliki kasih sayang yang tinggi, sesungguhnya aku berbangga dengan kamu (kerana umat yang ramai)”
(Hadis Riwayat Abu Daud 2050, An-Nasaei 6/65, Sahih Abu Daud 1789,
Sahih Ibn Hibban 9/4056, Hasan Sahih dalam Kitab Al-Irwa’ 1784)
Para Anbiya’ (‘Alaihimus Salam) seperti dirakamkan di dalam Al-Quran, berdoa dengan penuh pengharapan agar diberikan zuriat, sebagai penyambung keturunan.
Firman Allah (Surah Al-Anbiya’, 89):
وَزَكَرِيَّا إِذْ نَادَى رَبَّهُ رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْداً وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ
Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: "Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri (tidak mempunyai zuriat keturunan) dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik (diserahkan segala urusan kepadaMU) .
Firman Allah (Surah Ali Imran, 38):
هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاء
Di sanalah Zakariya mendoa kepada Tuhannya seraya berkata: "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa."
Nabi Ibrahim A.S memanjatkan kesyukuran yang tinggi kepada Ilahi, kerana memperkenankan doanya dan dikurniakan dua orang anak yang soleh, dilantik menjadi nabi melalui perkahwinan dengan dua isteri iaitu, Sarah dan Hajar.
Firman Allah (Surah Ibrahim, 39):
الْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاء
Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.
Nabi SAW turut menerangkan bagaimana pentingnya anak selepas kematian ibu bapa kelak, iaitu dalam menyalurkan pahala tanpa putus walaupun kedua-duanya telah tiada hasil daripada anak yang soleh yang sentiasa mendoakan mereka.
((إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ))
“Apabila wafatnya manusia, maka terputus darinya amalannya (pahala) kecuali dari tiga perkara (iaitu) dari sedakah jariah (pahala yang mengalir), ilmu yang bermanfaat (kepada manusia lain yang masih hidup), atau anak soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepadanya”.
(HSR Muslim No. Hadis 4310)
Turut diceritakan dalam hadis, bahawa Nabi SAW menitiskan air mata ketika kematian anak lelakinya yang bernama Ibrahim, sambil bersabda:
((إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ وَلَا نَقُولُ إِلَّا مَا يَرْضَى رَبُّنَا
وَإِنَّا بِفِرَاقِكَ يَا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ))
“Sesungguhnya mata itu menangis, hati pula bersedih, kami tidak mengatakan kecuali apa yang diredhakan oleh Tuhan kami, dan kami semua disebabkan perpisahan dengan kamu ini, Ya Ibrahim (anak Nabi SAW) teramatlah sedih”
(HSR Bukhari No. Hadis 1220)
Jika anak adalah fitnah, kenapa para Anbiya’ termasuk Nabi SAW amat menitikberatkan kewujudan zuriat?
Ini jelas membuktikan anak sebenarnya adalah fitrah manusia, yang mana semua menginginkannya, justeru untuk memastikan anak membesar sebagai Fitrah dan bukan membesar sebagai Fitnah adalah tanggungjawab besar bagi semua ibu bapa.
Pelbagai petunjuk jelas diberikan Islam dalam membentuk anak menjadi soleh dan bermanfaat kepada ibu bapa kelak. Bermula dari dilahirkan dalam keadaan suci bersih dan berfitrah Islam, sebagaimana disebut dalam satu hadis:
(( كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلى الْفِطْرَة، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، وَيُنَصِّرَانِهِ، وَيُمَجِّسَانِهِ كَمَثَلِ الْبَهِيمَةِ تُنْتَجُ الْبَهِيمَةَ هَلْ تَرَى فِيهَا جَدْعَاءَ))
“Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanya menyahudikannya, atau menasranikannya, atau memajusikannya, sebagaimana haiwan melahirkan (mengeluarkan) haiwan, adakah kamu lihat padanya sebarang kecacatan (kekurangan/kelainan)”
(HSR Bukhari No. Hadis 1296, Muslim No. Hadis 6828)
Beberapa nasihat Luqman dalam mendidik anak, dirakamkan dengan jelas dalam satu surah, iaitu Surah Luqman. Antaranya:
Firman Allah (Surah Luqman, 13):
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."
FirmanNYA lagi (Surah Luqman, 17-18):
يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ
إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
Hai anakku, dirikanlah shalat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).
وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحاً إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.
Nabi SAW turut mengajarkan kita cara terbaik dalam mendidik anak, yang mana istilah ini digunakan oleh orentalis dan sebenar berasal dari ajaran Nabi SAW, yang berbunyi “What You Give, You Get Back”, sebagaimana diceritakan dalam satu hadis:
Nabi SAW mencium Hasan (cucu Baginda SAW), ada bersama baginda SAW ketika itu seorang sahabat bernama Al-Aqra’. Sahabat itu berkata: Sesungguhnya aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi tidak pernah mencium seorang pun dari mereka!.
Nabi SAW bersabda:
(( مَنْ لَا يَرْحَمْ لَا يُرْحَمْ ))
“Sesiapa yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi”.
(Sahih Adab Al-Mufrad, Al-Bukhari, No Hadis 91)
Ciuman ibu bapa kepada anak mereka, menunjukkan kasih sayang dan anak akan dapat merasainya. Jadikanlah sunnah ini sebagai salah satu teknik dalam mendidik anak-anak kelak.
Dalam kegembiraan kita, menyambut kelahiran anak, diharapkan pesanan ini dapat memberikan sedikit gambaran tentang pentingnya penjagaan zahir dan batin bermula dari buaian sehingga anak ini membesar dalam satu aliran yang baik, kerana anak inilah yang bakal menjadi generasi pewaris dalam memastikan Islam tertegak di bumi ini pada masa hadapan.
Sebagai akhirnya, dinyatakan satu doa sebagaimana Nabi SAW sentiasa mendoakan Hasan dan Husin semasa masih kecil.
أُعِيذُكَ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّة وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّة
‘U’izuka/ki bikalimatillahit taammati min kulli syaitonin wa haammatin,
wa min kulli aynin laammah
Aku memohon perlindungan kpd budak lelaki/budak perempuan ini, dengan kalimah Allah yang sempurna, daripada syaitan dan bisikannya, dan daripada mata yang menyihir (panahan sihir melalui pandangan mata).
Sedikit nasihat kepada mereka yang masih ternanti-nanti dalam menunggu rezeki zuriat daripada Allah SWT, fahamilah satu zikir yang disunatkan dibaca setiap kali selepas solat yang berbunyi:
(( اللهم لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدّ ))
“Ya Allah, tiada yang menegah kepada apa yang telah Engkau berikan, dan tiada apa yang memberi kepada apa yang telah Engkau tegahkan (sekat), tiadalah manfaat orang yang mempunyai kelebihan (harta, keturunan dan kekuasaan) dengan kelebihannya itu daripada kekuasaan Allah”
Rabu, 22 Januari 2014
SETIAP ANAK DILAHIRKAH FITRAH (SUCI), JANGAN MEMBESAR SEBAGAI FITNAH
1:39 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan