Rabu, 20 November 2013

BERSIHKAN DIRI, BERSIHKAN MASYARAKAT. GANTI YANG KOTOR DGN YANG BERSIH

9:21 PG

Tazkirah Kasih Sayang Sesama Kita

Assalamualaikum
Ungkapan yang menyebut: KEBERSIHAN ITU SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN sudah menjadi tema kebersihan bagi orang-orang Islam, sama ada disedari ataupun tidak, ia adalah sebuah Hadis baginda Rasulullah s.a.w. berkaitan dengan kebersihan (riwayat Ahmad, Muslim, al-Tirmidhi dan Ibn Majah). Maksudnya amat jelas kepada kita semua. Ia secara langsung menekankan tentang peri pentingnya kebersihan itu dalam kehidupan seorang muslim dengan meletakannya sebagai sebahagian daripada imannya.



Hadis tersebut dan beberapa buah Hadis lain adalah suatu pernyataan pengukuhan kepada maksud ayat yang menyatakan bahawa Allah s.w.t. sentiasa menyayangi mereka yang bersih dan sukakan kebersihan (rujuk maksud ayat 108, surah al-Taubah dan ayat 222, surah Ali `Imran).

Justeru, atas kesedaran inilah maka kita dapati para ulama' bertindak memperhalusi lagi kehendak ayat dan Hadis tersebut, mereka melihat kebersihan itu dalam pelbagai ciri. Daripada sinilah lahir perbincangan mereka berkaitan dengan pembahagian kebersihan itu kepada dua bahagian besar, satu di antaranya ialah kebersihan diri atau jasmani, dan keduanya kebersihan jiwa.

Kebersihan diri insan dikaitkan dengan kebersihan persekitaran sama ada tempat tinggal, alam sekitar, bandar dan kota dan kebersihan negara yang akan melahirkan masyarakat Islam yg menyerlah.

Kebersihan diri mempunyai kaitan yang amat rapat dengan hubungan insan dengan Penciptanya. Tindakan awal seseorang apabila hendak bersolat atau bertawaf di Kaa`bah ialah mempastikan dirinya bersih (daripada hadas kecil dan besar), pakaiannya bersih dan tempat solatnya juga turut bersih. Kesahihan ibadatnya itu adalah tertakluk kepada tiga kebersihan tersebut (rujuk maksud ayat 6, surah al-Maidah dan ayat 4, surah al-Muddathir).

Kebersihan diri tentunya disokong oleh kebersihan persekitaran, ini termasuklah rumah dan persekitarannya. Justeru, di antara ciri-ciri penting rumahtangga muslim ialah suasana bersih yang merangkumi makan minum, ruang-ruang rumah, peralatan yang digunakan dan apa saja kelengkapan yang terdapat di dalam sesebuah rumah itu.

Persekitaran yang bersih juga dititikberatkan. Ia merangkumi kawasan rumah, hutan belantara, bukit, gunung dan juga lurah. Ia juga merangkumi kota dan desa. Tiada longgokan sampah di halaman rumah, tiada longkangnya yang tersumbat, tiada rimbunan pokok yang terbiar atau hutan liar yang mengganggu lahirnya suasana segar dan indah. Selain dari itu, di luar kawasan rumah, jangan ada sungai atau anak-anak sungai yang tercemar kerana akibatnya akan berlaku keracunan airnya, jangan ada hutan belantara yang menjadi tapak pembuangan sampah atau sisa perindustrian kerana ini akan menyebabkan rosaknya flora dan fauna, merebaknya pelbagai penyakit dan lain-lain yang memberi kesan kepada kemorosotan kesihatan manusia.

Kebersihan jiwa mempunyai pertalian rapat dengan dalaman seseorang, sama ada dia seorang yang ikhlas, jujur, beramanah, adil, bersifat penyayang, cintakan kebaikan atau dia seorang yang sombong, takabbur, riya', pembohong, penipu, zalim, kejam, sukakan keburukan serta kejahatan dan sebagainya. Dalam huraian ulama', kebersihan jiwa adalah sesuatu yang amat ditekankan dalam pendidikan rohani. Dalam sistem pendidikan Islam, kita menemui satu mata pelajaran yang dinamakan akhlaq. Ia merupakan mata pelajaran wajib di sekolah-sekolah agama rakyat atau kerajaan dalam tahun tujuh puluhan dahulu. Sekarang orang bercakap tentang moral, tanpa disedari itulah akhlaq yang telah menunjangi pendidikan agama tradisional dahulu. Kegawatan yang ada sekarang dikalangan remaja kita adalah serba sedikitnya berpunca daripada pengabaian kepada sudut ini. Justeru, kerana pengutamaan kepada kebendaan telah menyebabkan satu di antara perkara penting dalam pendidikan insan telah kita abaikan. Padahnya kita hadapi sekarang menerusi pelbagai karenah songsang remaja; aids, dadah, rasuah, salah laku, jenayah dan lain-lain yang memberi sumbangan besar kepada kehancuran masa depan mereka dan juga negara.

Menghayati konsep kebersihan ini adalah tanggungjawab kita semua, sama ada individu, masyarakat dan negara. Untuk menampilkan dirinya sebagai kekasih Allah, seseorang insan dikehendaki mengawasi dirinya sentiasa berada dalam keadaan yang bersih (maksud ayat 108, surah al-Taubah dan ayat 222, surah al-Baqarah). Undang-undang berkaitan kebersihan persekitaran perlu dilaksanakan dengan tegas serta berkesan. Kerakusan manusia dalam mengejar keduniaan antara penyebab utama undang-undang ini perlu diperketatkan dengan merujuk kepada masalahah umat dan negara berpandukan kepada kaedah masoleh mursalah dan sadd al-dhari`ah dan satu kaedah lain yang menyebut Tindakan seorang pemerintah adalah terikat dengan maslahah umat. Justeru pemerintah harus melaksanakan apa bentuk undang-undang yang boleh menjaminkan kebersihan alam sekitar dan negara.

Konsep kebersihan yang kulli ini jika dihayati, maka akan lahirlah alam yang bersih, segar dan sihat. Bagi seorang muslim, tentunya: Kebersihan adalah sebahagian daripada iman menjadi tunjang kepada perjuangannya dalam menegakkan kehendak agamanya di permukaan bumi ini. Dengan erti bahawa kekotoran itu adalah salah satu di antara musuh utama agamanya.

Apabila kita tinggalkan anjuran kebersihan ini yang dititik beratkan dalam Islam, seperti mana akibat yg ditanggung kita semua kerana meninggal cara hidup Islam, maka jadilah kita umat yang dipandang jelek dan mahu dijauhi orang.

Sayang, dipuncak kehidupan beragama di Eropah, ketika itulah zaman gelap bagi mereka. Mundur ,pengotor, zalim, penindas dan berakhlak buruk. Islam datang dan merubah kehidupan di Eropah membawa kehidupan yang lebih makmur dan sejahtera.

Manakala di negara umat Islam yang taksub dgn anjuran barat agar memisahkan kehidupan dari agama, maka jadilah masyarakat yg tidak lagi mengamalkan perintah Allah SWT dan contoh ditunjukkan Nabi saw. Kerana itu mereka jadi mundur, pengotor dan berakhlak buruk.

Barat gemilang ketika tidak lagi hidup beragama (Kristian) . Mana kala dalam sejarah ummat Islam, kegemilangan ketika zaman berpegang pada agama Islam. Kehinaan bertimpa-timpa sebaik menjauhi apa yg dituntut Islam.

Wsalam
Haji Ahmad Amzad Hashim
http://iluvurl.com/ganti
http://jomklik.in/ganti
http://ganti-trg.blogspot.com

Written by

GANTI yang sesat dengan yang diredhai Allah. GANTI yang khianat dengan yang amanah. GANTI segala perancangan dan program yang membawa kerugian dengan keberuntungan. GANTI segala sifat mazmumah (buruk dan tercela) yang ada pada diri sendiri dan masyarakat dengan sifat mahmudah (baik dan terpuji) GANTI mengajak perubahan. GANTI IS FOR CHANGE!!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

© 2013 Gerakan Anak Terengganu Insaf [ GANTI ]. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top