Jumaat, 2 Mei 2014

Cukai Pintu: Penduduk perlu bantah secara bertulis

10:40 PG

KUALA TERENGGANU: Semua penduduk terbabit dengan notis permbaharuan cukai pintu bangunan dan rumah kediaman diminta membuat bantahan bertulis kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada atau sebelum 2 Jun ini kerana nilaian dibuat naik mendadak sehingga 600 peratus.

Serentak itu Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) meminta mereka terbabit menyerahkan salinan notis kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu untuk tindakan selanjutnya.

Presiden GANTI, Haji Ahmad Amzad Hashim (Gambar) dalam satu kenyataan akhbarnya hari ini berkata, pertubuhan itu akan menyelaraskan tindakan bersama dengan pelbagai NGO lain bagi membangkitkan masalah ini secara kolektif.

“Kami akan mengaturkan Kaunter atau Meja Pengumpulan Bantahan Taksiran Semula Cukai Pintu MBKT di setiap Pusat Khidmat Wakil Rakyat Pakatan Rakyat,” jelasnya.

Katanya, dalam tinjauan badan itu di Kampung Durian Burung sebagai contoh, telah ramai yang menerima notis serupa.

“Ada yang asal dulu kadar cukai pintu RM120 setahun, sekarang sudah meningkat luar biasa kepada RM768.00 dan Ini bererti kenaikannya adalah sebanyak 600 peratus” katanya.

Menurut beliau badan itu akan berikhtiar untuk membuat bantahan secara kolektif selepas semua prosedur bantahan individu secara bertulis telah dibuat oleh mereka berkenaan.

Mereka terbabit katanya perlu menubuhkan jawatankauas bertindak bagi mengurus berkaitan bantahan takrif baru cukai pintu tersebut di peringkat kampung masing-masing.




Sementar itu Haji Ahmad Amzad berkata, pada Forum Kos Sara Hidup anjuran Sukarelawan Pendidikan Rakyat Terengganu (KAWAN) yang diadakan di sini 26 April lalu, beberapa peserta telah membangkitkan kenaikan luar biasa taksiran cukai berkenaan di daerah tersebut tanpa diketahui sebabnya.

Katanya, ada di antara mereka yang sebelum ini membayar cukai sekitar RM100 setahun telah menerima taksiran baharu melalui Notis Semakan Senarai Nilaian dibuat oleh MBKT dengan kadar kenaikan sehingga RM600.

Sementara itu, di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), MBKT telah mengeluarkan Senarai Nilaian Baru 2015 di bawah Seksyen 141 (3) dan 142 (1) menyatakan bahawa majlis itu telah mengeluarkan nilaian tersebut dan semakannya boleh dibuat 15 Jun ini.

Menurut kenyataan majlis itu seseorang yang terkilan terhadap senarai nialian itu boleh membuat bantahan kepada Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang pada atau sebelum 2 Jun ini atas mana-mana daripada lima alasan termasuk bahawa sesuatu pegangan yang baginya dia dikenakan kadar adalah dinilai lebih daripada nilainya yang boleh dikenakan bayaran.

Bahawa sesuatu pegangan yang dinilai adalah pegangan yang tidak boleh dikenakan kadar, bahawa seseorang atau sesuatu pegangan yang sepatutnya termasuk dalam senarai nilaian itu adalah ditinggalkan daripadanya dan bahawa sesuatu pegangan adalah dinilai kurang daripada nilainya yang boleh dikenakan kadar.

Atau bahawa sesuatu pegangan atau pegangan-pegangan yang telah dinilai secara bersesama atau berasingan sepatutnya dinilai secara lain.

Written by

GANTI yang sesat dengan yang diredhai Allah. GANTI yang khianat dengan yang amanah. GANTI segala perancangan dan program yang membawa kerugian dengan keberuntungan. GANTI segala sifat mazmumah (buruk dan tercela) yang ada pada diri sendiri dan masyarakat dengan sifat mahmudah (baik dan terpuji) GANTI mengajak perubahan. GANTI IS FOR CHANGE!!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

© 2013 Gerakan Anak Terengganu Insaf [ GANTI ]. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top