KENYATAAN MEDIA : PENGERUSI GERAKAN TURUN KOS SARA HIDUP
24 Disember 2013
Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para peguam, rakan media dan rakan-rakan yang telah bersolidariti sejak semalam bagi menuntut pembebasan saya, dan, Alhamdulillah, saya telah dibebaskan jam 7 petang tadi di IPD Dang Wangi. Penangkapan dan pembebasan ini tidak akan menyebabkan perjuangan ini terhenti tetapi akan tetap diteruskan sehingga kos bebanan sara hidup rakyat dapat diturunkan.
Saya telah diserbu oleh kira-kira 7 orang anggota polis sewaktu sedang makan bersama rakan-rakan di Kedai Makan Kak Som di Kampung Baru pada jam 11 malam dan ditahan bawah Siasatan Khas D9. Siasatan Khas D9 merupakan siasatan ke atas jenayah berat seperti penggunaan senjata api. Realitinya, siapakah penjenayah berat? Adakah dengan memperjuangkan hak dan suara rakyat supaya bebanan kos sara hidup mereka diturunkan, maka, saya digelar penjenayah berat dan perlu diserbu sebagai seorang penjenayah?
Penahanan saya dibuat bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang dibaca bersama Seksyen 124 Kanun Keseksaan. Penahanan ini dibuat berikutan ucapan saya dalam Program Sekretariat Pakatan Rakyat iaitu ‘Faham GST, Lawan GST’ pada Jumaat yang lepas yang dikatakan berbaur hasutan, menggugat keharmonian sekali gus menggugat sistem demokrasi berparlimen negara. Hakikatnya, saya menyeru masyarakat turun dan menyatakan sokongan mereka supaya kerajaan tidak mengambil ringan dan memandang enteng masalah bebanan kos sara hidup rakyat menjelang 2014. Di manakah salahnya?
Selain itu, saya disyaki terlibat dalam cubaan untuk menggulingkan Kerajaan yang dipilih secara demokrasi menjelang 2014. Andaian serkap jarang dan tuduhan yang tidak berasas ini telah menampakkan ketempangan pihak berkuasa dalam proses pembuktian. Bagaimana siasatan ingin dibuat hanya bersandarkan kepada andaian semata-mata?
Saya juga telah dibawa ke Mahkamah Jalan Duta tengahari ini apabila didakwa pihak polis ingin membuat rayuan bagi mendapatkan tahanan reman setelah ditolak majistret disebelah pagi tadi. Ini menampakkan sikap keterdesakan untuk pastikan saya direman. Namun apa yang terjadi ia hanyalah salah faham diantara sesama pihak polis dalam menguruskan kes saya. Di mana integriti dan professional pihak polis dalam isu ini?
Akhir sekali saya ingin tegaskan bahawa segala apa yang terjadi ini tidak akan memberhentikan saya dan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) untuk terus memperjuangan nasib rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup kini. Kempen ‘2014 Tahun Sengsara Rakyat’ akan terus berjalan dan Himpunan amarah Rakyat di Dataran Merdeka pada 31 Disember 2014 ini akan diteruskan.
Saya menegaskan bahawa TURUN sama sekali tidak terlibat di dalam agenda Himpunan Guling Kerajaan dan TURUN sentiasa menghormati sistem demokrasi berparlimen di negara kita. Ayuh seluruh rakyat Malaysia kita bersolidariti di Dataran Merdeka 31 Disember 2013 nanti.
Sekian terima kasih.
2014 Tahun Sengsara Rakyat
Muhamad Azan Safar
Pengerusi TURUN
azansafar@gmail.com
Selasa, 24 Disember 2013
- Home /
- Berita Semasa /
- Pengerusi TURUN Dibebaskan & Himpunan Amarah Rakyat di Dataran Merdeka Diteruskan
Pengerusi TURUN Dibebaskan & Himpunan Amarah Rakyat di Dataran Merdeka Diteruskan
11:57 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan