Selasa, 24 Disember 2013

Dendam Politik ; Ibu Tunggal 9 Anak Mangsa Umno-BN

5:30 PTG

KUALA NERUS – Walaupun tidak wajar dan dinafikan oleh pemimpinnya, namun yang nyata, kemarahan dan ‘dendam politik’ Umno dan Barisan Nasional (BN) berterusan menzalimi rakyat di negeri Terengganu.
Kesan kekalahan pilihan raya tahun 1999 kepada PAS, Umno-BN menjadikan nasib malang seorang ibu tunggal umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.
Kesukaran hidup ditingalkan suami yang terlebih dahulu menyambut seruan Ilahi, Puan Zainon Muda, 59, kini terpaksa menumpang hidup, menumpang ‘ehsan’.
Tanah lot penempatan milik Pusan Zainon yang diluluskan oleh kerajaan PAS, ‘dirampas’ kembali oleh kerajaan BN Terengganu.
Malang bertimpa, apabila beliau dan keluarga, terpaksa pula mengosongkan tanah, tempat beliau menumpang, kerana pemiliknya mahu memajukan tanah tersebut.
“Mak cik kini terpaksa tumpang rumah kakak apabila rumah pusaka kami yang duduk (terletak) atas tanah orang perlu dikosongkan segera atas arahan pemilik tanah itu.
“Sedih juga sebab kami anak-beranak tidak ada tanah lain dan tanah yang diberikan (lulus) semasa kerajaan PAS Terengganu tahun 2002, telah ‘dirampas’ semula oleh kerajaan (Umno-BN).
“Mak cik sendiri tak tahu kenapa tanah (kerajaan) itu yang telah diberi kepada kami dibatalkan tetapi tanah lot yang sama diberikan kepada orang lain,” jelasnya
Sedangkan Puan Zainon merupakan seorang warga emas anak jati Kampung Batin Seberang Takir, yang sepatutnya dibela dan diberi hak oleh kerajaan yang memerintah.
Namun menurutnya, mungkin haknya sebagai warga dan anak negeri Terengganu semata-mata kerana politik.
Beliau menjelaskan permohonan tanah kerajaan untuk lot tapak rumah kediaman lot PT.24927K Baroh Padang Takir Mukim Kuala Nerus itu asalnya telah diluluskan atas nama suami iaitu Ismail Muda pada 10 Februari 2002.
Namun, kata beliau, suaminya allahyarham Ismail Muda telah meninggal dunia pada 3 Ogos 2002 dan dibuat perjanjian akuan sumpah berdaftar pindah nama kepadanya, Zainon Muda pada 19 Januari 2004.
“Malangnya, pada 19 Mei 2005, mak cik terima surat dari Pejabat Tanah bahawa permohonan (tanah) itu ditolak oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih Tanah Daerah Kuala Terengganu kali ke-3 pada 15 Mei 2005.
“Kami anak beranak dilarang membina rumah atas tanah yang diberikan itu di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965, denda RM10,000 atau penjara tidak lebih setahun,” ujarnya.
Menurut Zainon, tindakan kerajaan negeri menafikan haknya itu sekaligus menganiayai anak yatim yang telah kehilangan bapa.
Sementara itu, anak keduanya Shaharuzi Ismail, 36, menyifatkan pembatalan hak milik sementara tanah lot yang diberikan kepada allahyarham ayahnya itu sebagai ‘dendam’ politik.
Katanya, atas tanah yang diluluskan oleh bekas kerajaan PAS Terengganu itu telah diukur sempadan, bayar Lesen Menduduki Sementara (LMS) dan kerja menambung tanah.
“Kami (keluarga) telah bayar upah ukur tanah, tanda sempadan dan bayar LMS. Bahkan, kami telah belanja lebih RM2,000 untuk kerja-kerja menambung tanah kerana mahu dirikan rumah,” ujarnya.
Beliau mendakwa tanah tersebut kini diberikan kepada orang lain serta didirikan sebuah rumah di bawah skim Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Kata Shaharuzi, beliau tidak kisah jika tanah tersebut berpindah milik kepada orang lain tetapi di mana haknya juga sebagai rakyat di negeri ini.
kam2919(d)-zainon4Manakala, Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang menyifatkan nasib malang yang dihadapi oleh Puan Zainon Muda sebagai isu kezaliman pihak berkuasa terhadap rakyat.
Katanya, kerajaan BN Terengganu telah bertindak tidak adil kepada sebuah keluarga ibu tunggal yang mempunyai anak-anak yatim.
“Kerajaan PAS (Terengganu) dulu beri doh tapi kenapa kerajaan Umno-BN tarik balik dan diberi pula tanah yang sama itu kepada orang (pemilik) lain.
“Dia (BN) sengaja menghukum rakyat kerana kekalahan mereka pada pilihan raya tahun 1999 hingga 2004 lalu,” ujarnya kepada Harakah selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga malang tersebut.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu menjelaskan menjadi hak mana-mana individu untuk memilih parti politik dalam negara ini.
Katanya, keluarga Puan Zainon itu memerlukan tanah bagi tapak kediaman rumah kerana mempunyai ahli keluarga yang ramai.
“Kerajaan negeri perlu kembalikan semula hak tanah kepada keluarga (Zainon) ini dan menjadi hak rakyat atau mana-mana individu untuk memilih parti (politik) dalam negara demokrasi,” ujarnya.
Sehubungan itu, kata beliau mana-mana pihak yang bersimpati dengan keluarga berkenaan boleh berhubung dengan pihak MTD Seberang Takir di talian 019-987 8693.

Written by

GANTI yang sesat dengan yang diredhai Allah. GANTI yang khianat dengan yang amanah. GANTI segala perancangan dan program yang membawa kerugian dengan keberuntungan. GANTI segala sifat mazmumah (buruk dan tercela) yang ada pada diri sendiri dan masyarakat dengan sifat mahmudah (baik dan terpuji) GANTI mengajak perubahan. GANTI IS FOR CHANGE!!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

© 2013 Gerakan Anak Terengganu Insaf [ GANTI ]. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top