Selasa, 19 November 2013

Hijrah Julang Islam Hancurkan Jahiliah

8:38 PG

Oleh : ibnuatiq@gmail.com

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  5 surah Ibrahim :

وَلَقَدْ أَرْ‌سَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِ‌جْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ‌ وَذَكِّرْ‌هُم بِأَيَّامِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ‌ شَكُورٍ‌

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: “Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. “Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur

            Kita baru sahaja menyambut ketibaan bulan Muharram tahun 1435H yang mengetuk hati kita untuk sama-sama menghayati erti hijrah dalam kehidupan sesuai denga ianya merupakan bulan pertama dalam Taqwim Hijrah. Sewajarnya setiap kali meninggalkan tahun lama dan masuk kepada tahun baru maka kita perlu melakukan proses hijrah terutama pada diri kita sendiri ke arah tunduk patuh kepada segala arahan Allah dan menjauhi segala laranganNya dalam setiap aspek kehidupan. Kita wajib hijrah dengan meninggalkan segala perkara yang merugikan agama dan umat serta melakukan ketaatan maksimum kepada Allah SWT.

Kita juga digalakkan untuk banyak melakukan amalan puasa sunat terutama pada hari Kesembilan dan Kesepuluh daripada bulan Muharram atau hari ‘Asyura’

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ e: .. وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ”  - رواه مسلم

Maksudnya : … Adapun puasa hari Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal :

وَإِذْ يَمْكُرُ‌ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِ‌جُوكَ ۚ وَيَمْكُرُ‌ونَ وَيَمْكُرُ‌ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ‌ الْمَاكِرِ‌ينَ

Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya

            Ketika menyingkap berkenaan matlamat hijrah nabi-nabi maka kita dapati antara 3 sebab  berlangsungnya hijrah iaitu [1] untuk menyeru manusia mentauhidkan Allah, [2] bagi mempertahankan keimanan pengikut daripada diganggu dan [3] membuka penempatan baru untuk kebaikan semua. Nabi Ibrahim berhijrah meninggalkan tanah kelahirannya kerana enggan tunduk kepada Raja Namrud yang menolak agama tauhid. Nabi Ibrahim juga berhijrah membawa isterinya Siti Hajar dan puteranya Nabi Ismail menuju ke sebuah lembah kering kontang untuk membuka penempatan baru, iaitu Makkah yang akhirnya menjadi pusat ibadat hingga kini. Nabi Musa pula berhijrah meninggalkan Mesir menuju ke Syam bersama pengikut setia bagi mengelak kekejaman dilakukan Firaun yang mengaku dirinya tuhan dan di sana diberi negeri untuk menguatkan lagi penyebaran Islam. Nabi Nuh pula berhijrah atas perintah Allah menaiki kapal ketika banjir besar bertujuan menyelamatkan sejumlah pengikut setia daripada terus diejek dan diganggu penduduk yang menolak seruan tauhid.

Penghijrahan nabi meninggalkan sesuatu tempat menuju tempat lain bukan bermakna mengaku kalah atau meninggalkan amanah menyebarkan agama tauhid. Hijrah suatu strategi mendapat kekuatan dan keselamatan. Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah menjadi titik permulaan kejayaan umat Islam di mana Islam dapat disebarkan secara terbuka dan mendapat sambutan serta dapat melaksanakan system Islam yang lengkap dengan adanya kuasa pemerintahan. Menyedari Makkah tidak sesuai diteruskan dakwah, lalu Nabi Muhammad SAW mencari tempat lain difikirkan lebih selamat. Tempat pertama dipilih ialah Taif. Namun, keadaan tidak memihak kepada Rasulullah SAW. Tempat lain pernah dijadikan tempat hijrah ialah Habsyah. Walaupun mendapat layanan baik Raja Habsyah, terdapat beberapa keadaan menyebabkan Habsyah tidak menjadi destinasi hijrah Rasulullah SAW walau pun ramai sahabat terus tinggal di Habsyah untuk tempoh lama. Penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah tidak dilakukan secara terburu-buru sebaliknya Rasulullah SAW mengkaji latar belakang atau kesesuaian terlebih dahulu sebelum berhijrah. Rasulullah SAW menguji penerimaan penduduk Madinah dengan berdakwah kepada mereka yang datang ke Makkah mengerjakan haji sehingga berlangsungnya Perjanjian Aqabah yang menjadi perintis kepada hijrah. Tindakan bijak ini mesti diteladani dalam memperkasakan Islam agar umat Islam maju ke depan bukan mundur ke belakang, menjadi bangsa berdaulat bukan mangsa yang diinjak-injak oleh musuh Islam, menjadi model ikutan bukan ‘pak turut’ yang merugikan          

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

عن عائشة رضي الله عنها قال: قال رسول الله e: (لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِوَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا) متفق عليه

Maksudnya: Tidak ada hijrah lagi setelah dibukanya kota Makkah, tetapi yang ada adalah jihad (berjuang di jalan Allah) dan niat untuk selalu berbuat baik. Oleh kerana itu, jika kalian diseru untuk berjuang, maka berangkatlah!”

                Sempena berada pada tahun baru hijrah marilah kita sama-sama menghayati roh hijrah untuk diguna pakai dalam konteks semasa iaitu membina semula kegemilangan tamadun Islam yang sudah lama hilang. Umat Islam mestilah memahatkan suatu kebanggaan dalam jiwa masing-masing bahawa Islam agama paling hebat. Sifat segan silu hendaklah dikikis daripada dada umat Islam bagi menzahirkan keindahan dan keagungan Islam dalam setiap aspek kehidupan samada politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Ketika masalah kerapuhan aqidah, kerosakan akhlak, peningkatan masalah jenayah yang berlaku dalam Negara diikuti dengan suasana keselamatan yang tergugat terutama kes pengawal keselamatan sendiri yang terlibat dengan jenayah bunuh dan rompak ditambah pula ramai warga asing yang diupah menjadi pengawal keselamatan. Kita harap jangan pula ada kes polis dan tentera pun daripada kalangan warga asing selepas ini.
            Oleh itu sudah sampai masanya Negara berhijrah kepada system perundangan Islam sebagaimana tindakan berani Kerajaan Brunei mewartakan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah yang merangkumi pelaksanaan hukum hudud mulai 22 Oktober 2013, dan akan mula berkuat kuasa enam bulan selepasnya secara berfasa. Undang-undang itu meliputi hukuman termasuk merejam hingga mati kerana muhsan yang berzina, memotong tangan kerana mencuri dan sebat kerana pelbagai kesalahan seperti pengguguran kandungan hingga kepada meminum arak. Kita menyokong penuh titah ucapan Sultan Brunei semasa mewartakan hukuman Islam ini dengan titah baginda : Undang-Undang Allah disyari’atkan bukanlah untuk kepentingan Allah sendiri kerana Allah sama sekali tidak mempunyai apa-apa hajat, kerana Dia sendiri adalah Tuhan yang Maha Sempurna. Yang berhajat itu ialah kita para hamba, termasuk hajat untuk dapat menikmati keadilan dan kesejahteraan.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  74 surah al-Anfal :

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ

Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia

            Model Daulah yang agung yang dibina oleh nabi Muhammad s.a.w berdiri atas 3 asas utama iaitu [1] pembinaan masjid bagi membina ikatan manusia dengan Allah yang menjadi kekuatan utama kepada kesejahteraan dan keberkatan Negara. Apabila bermula daripada pemimpin hingga rakyat jelata takut kepada Allah maka masalah kezaliman, penindasan dapat dihakiskan. Kita tidak mahu mempunyai pemimpin yang hanya mahu rakyat berjimat cermat sedangkan sikap boros dan membazir seperti kes ketirisan akibat pecah amanah, rasuah mengakibatkan RM6.5 bilion wang rakyat lebur tahun lepas melebihi subsidi minyak dan gula yang ditarik. Itu belum dikira dengan kos Kompleks Perdana Menteri  lebih RM2.2 juta untuk elektrik manakala lebih RM300,000 dibelanjakan untuk bil air iaitu RM 8 500 sehari untuk tahun lepas sahaja. Sedangkan rakyat bakal dibebani dengan kenaikan tariff elektrik tidak lama lagi. Begitu juga penggunaan pesawat persendirian menelan kos RM14.95 juta untuk bahan api dan RM160.08 juta untuk penyelenggaraan dengan kos hampir RM 500 ribu untuk satu penerbangan . Sedangkan rakyat terkial-kial untuk berbelanja jimat akibat kenaikan harga barang yang terus meningkat

[2] Nabi s.a.w membina ikatan persaudaraan yang kuat antara golongan Muhajirin yang berhijrah dengan golongan Ansar yang merupakan anak watan Madinah sehingga hubungan kemanusiaan atas dasar iman ini banyak membantu membina Negara yang kuat. Oleh itu kita pada hari mestilah menghayati semangat persaudaraan Islam yang kuat dalam memastikan penjajahan Palestin dapat ditamatkan, pembunuhan di Syria dapat dihentikan, penderitaan bangsa Roghiya di Myanmar dapat pembelaan, nasib umat Islam yang tertindas di seluruh dunia dapat perhatian. Musuh Islam melalui dasar pecah perintah yang menjadi dasar penjajahan ke atas bumi Umat Islam telah menanam sikap Assobiyah atau kebangsaan sempit yang menyebabkan ramai umat Islam merasakan bagaimana nasib malang yang menimpa saudara seagama di Negara yang lain adalah masalah Negara masing-masing bukan masalah kita bersama. Buangkan sikap yang buruk ini untuk kembali menjadikan umat Islam seperti batu bata yang tersusun rapi dan ibarat sebatang tubuh di mana satu anggota merasa sakit menyebabkan anggota lain turut menderita

قال الرسول e  : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ  – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي

Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya

            Asas ke-[3] yang dibina selepas hijrah ialah membentuk Piagam Madinah yang merupakan asas pembinaan Negara yang pertama di dunia dalam memastikan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup aman di bawah satu system yang saksama. Keadilan dan kehebatan system Islam bukan sahaja dapat dirasai oleh umat Islam malah orang bukan Islam. Oleh itu gunakanlah peluang ketika orang Islam masih mempunyai kuasa poltik dalam Negara untuk memperkasakan system Islam. Kita tidak mahu Negara tunduk kepada suara seperti atas nama hak asasi manusia supaya dihalakan budaya songsang Lesbian, homoseksualiti (LGBT) , murtad, pemansuhan jenayah syariah. Kita tidak akan menjemput bala Allah dengan menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah. Bersama berhijrah dalam menjulang system Islam. Bersama berhijrah daripada terus dijajah oleh system ciptaan manusia. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Written by

GANTI yang sesat dengan yang diredhai Allah. GANTI yang khianat dengan yang amanah. GANTI segala perancangan dan program yang membawa kerugian dengan keberuntungan. GANTI segala sifat mazmumah (buruk dan tercela) yang ada pada diri sendiri dan masyarakat dengan sifat mahmudah (baik dan terpuji) GANTI mengajak perubahan. GANTI IS FOR CHANGE!!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

© 2013 Gerakan Anak Terengganu Insaf [ GANTI ]. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top