Rabu, 23 Disember 2015

Isu Bangladesh: Pemuda PAS serah memorandum bantahan

8:50 PTG


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah menyerahkan Memorandum Bantahan Terhadap Pemerkosaan Hak Asasi Manusia Yang Serius Di Bangladesh kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada hari ini Rabu, 23 Disember 2015.

Sehingga kini sudah beberapa orang pimpinan Jamaat Islami Bangladesh telah dihukum mati baru-baru ini dan sebahagian lagi sedang dibicarakan atau menunggu hukuman dijatuhkan.

Memorandum telah diserahkan oleh Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia dan diterima oleh Encik Qamar Arif Mohamad Auzi, Pegawai di Pejabat PBB Malaysia. Beliau memaklumkan akan menyampaikan memorandum tersebut kepada Ibu Pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat.

Turut hadir Ustaz Syarhan Humaizi Halim (Ketua Pemuda Selangor), Mukhtar Suhaili (Bendahari DPPM), Nurul Mohamed Yusoff (Penolong Setiausaha 1 DPPM), Damanhuri Dol (Penolong Setiausaha 2 DPPM), Syaiful Hizam (Pegawai Media DPPM) dan beberapa orang lagi pimpinan Pemuda PAS Malaysia.

Berikut ialah memorandum tersebut.

MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PEMERKOSAAN HAK ASASI MANUSIA YANG SERIUS DI BANGLADESH

Kepada: Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

Daripada: Dewan Pemuda PAS Malaysia, Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Menyertai bantahan antarabangsa di seluruh dunia, Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyatakan kebimbangan terhadap ketidak stabilan politik yang serius dan ketiadaan kredibiliti Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh.

Kegagalan berterusan pihak berautoriti kehakiman Bangladesh untuk memastikan perbicaraan yang adil kepada aktivis dan ahli politik yang dituduh adalah satu pelanggaran serius kepada peraturan hak asasi manusia antarabangsa.

Dengan mensasarkan pemimpin politik parti-parti pembangkang khususnya Jamaat Islami Bangladesh, ia jelas dilihat sebagai satu tindakan politik oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa dan Kerajaan Bangladesh.

Proses penyiasatan yang dijalankan oleh pihak berwajib dilakukan secara sewenang-wenangnya, penuh kontroversi dan gagal mematuhi standard peraturan dan piawaian yang sewajarnya.

Tindakan-tindakan ini hanya akan meneruskan tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan. Hukuman yang telah dijatuhkan hendaklah dibatalkan sehingga perbicaraan yang adil oleh pihak berkecuali dan telus dapat dijalankan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil tindakan tegas kepada Kerajaan Bangladesh agar mematuhi prinsip-prinsip hak asasi manusia antarabangsa dan memberikan keadilan perundangan kepada semua tertuduh.

Kerajaan Bangladesh tidak boleh terus mengabaikan kebimbangan antarabangsa dan hendaklah dengan segera memberi keadilan kepada mangsa yang terlibat seperti yang termaktub di dalam Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Ini termasuklah membatalkan hukuman mati yang telah dan bakal dijatuhkan kepada mereka yang tidak bersalah khususnya pimpinan politik pembangkang yang dilihat dizalimi.

Sekian, terima kasih.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 23/12/2015

Written by

GANTI yang sesat dengan yang diredhai Allah. GANTI yang khianat dengan yang amanah. GANTI segala perancangan dan program yang membawa kerugian dengan keberuntungan. GANTI segala sifat mazmumah (buruk dan tercela) yang ada pada diri sendiri dan masyarakat dengan sifat mahmudah (baik dan terpuji) GANTI mengajak perubahan. GANTI IS FOR CHANGE!!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

© 2013 Gerakan Anak Terengganu Insaf [ GANTI ]. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top