Selasa, 6 Mei 2014

Kenyataan Media Isu kenaikan Cukai Pintu

9:48 PG

JAWATANKUASA BERTINDAK ISU KENAIKAN CUKAI PINTU TERENGGANU

KENYATAAN MEDIA

Adalah dengan segala hormatnya susulan dari NOTIS SEMAKAN SENARAI NILAIAN yang dikeluarkan oleh MBKT bertarikh 15hb Mac  2014 kepada premis-premis kediaman dan perniagaan di kawasan MBKT,  kami (gabungan NGO-NGO) telah menerima banyak rungutan, aduan dan bantahan dari rakyat.

Susulan daripada itu NGO-NGO telah berunding dan membincangkan perkara ini dan bersetuju dengan pembentukan JAWATANKUASA BERTINDAK ISU KENAIKAN CUKAI PINTU TERENGGANU.

NGO-NGO ini mewakili pelbagai kelompok rakyat Terengganu yang menerima kesan langsung dari notis berkenaan termasuk warga pesara, warga pendidik, bekas tentera, peniaga pasar, peniaga pasar malam, peruncit, golongan mahasiwa, kumpulan wanita/muslimat dan juga dari kumpulan rakyat yang pelbagai kaum dari Melayu, Cina dan India.

Notis tersebut adalah prosedur awalan bagi langkah MBKT untuk menaikkan Cukai Pintu bagi semua premis berkenaan dengan menyatakan kadar Cukai Pintu yang baru akan mula dikuatkuasakan bermula 1hb. Januari 2015. Notis berkenaan meminta agar semua BANTAHAN  SECARA BERTULIS dikemukakan kepada MBKT sebelum tarikh 2hb. Jun 2014.

Kami mendapati kenaikan kadar cukai pintu yang ditaksirkan semula melalui notis berkenaan adalah terlalu tinggi dan mendadak. Sebahagian dari premis kediaman ada yang mengalami kenaikan sehingga setinggi 600%. Terdapat juga banyak kes premis-premis kediaman (terutamanya rumah-rumah kampung) yang sebelum ini tidak pernah dikenakan cukai pintu, menerima notis membayar cukai berkenaan mulai tahun hadapan. Contoh- contoh kenaikan antaranya dari RM70 setiap tahun, naik ke RM700 , RM120 setahun naik ke RM768 dan pelbagai lagi.

Dengan tidak menafikan peruntukan-peruntukan yang ada dibawah Akta Kerajaan Tempatan yang memberi kuasa kepada MBKT untuk menaikkan Cukai Pintu berkenaan, kami juga mendapati MBKT juga mempunyai kuasa yang diperuntukkan oleh akta yang sama untuk tidak menaikkan kadar cukai yang berkenaan.

Kerana itu Jawatankuasa Bertindak Isu Cukai Pintu Terengganu menyatakan bantahan terhadap kenaikan Cukai Pintu yang mahu dilaksanakan oleh MBKT pada tahun hadapan dengan sebab-sebab antara lainya seperti berikut:

1) Taksiran semula yang dibuat sehingga 600% adalah kenaikan terlalu tinggi dan mendadak kepada pemilik premis.

2) Kadar Kemiskinan rakyat Terengganu dalam jawapan  di dalam Sidang DUN yang lalu adalah yang ke 4 di seluruh negara. Rakyat sedang tertekan dengan kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan dalam setahun ini ekoran langkah kerajaan menaikkan harga barangan asas seperti petrol dan diesel, gula, minyak masak, tambang pengangkutan dan pelbagai lagi. Kenaikan Cukai Pintu sehingga 600% menggambarkan kerajaan sangat tidak peka dengan situasi dihadapi rakyat. Keadaan diburukkan lagi oleh kemerosotan dalam pendapatan rakyat dan pengangguran. Sebahagian dari premis yang mengalami kenaikan tertinggi sehingga 600% adalah milik pesara-pesara kerajaan yang tidak lagi bekerja dan tidak punya pendapatan mencukupi.

3) Perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai 1hb April 2015, menurut ramalan ramai pakar ekonomi akan mengundang inflasi yang memburukkan lagi tekanan kos sara hidup rakyat oleh kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi lagi.

4) Kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh MBKT masih belum memuaskan dengan kekurangan yang masih agak ketara dari segi pengurusan sampah, kemudahan awam seperti sistem pengangkutan awam yang ketinggalan berbanding bandar lain yang berstatus Bandaraya, infrastruktur perparitan, pili bomba (contohnya kebakaran di Kampung Ladang akhir tahun lepas gagal dikawal kerana tiada pili bomba berdekatan yang berfungsi) dan pelbagai lagi.

5) Belanjawan Tahunan Kerajaan Terengganu sentiasa mencatat angka antara yang tertinggi di Malaysia sekitar RM2Billion setahun. Ini menunjukkan sebenarnya kerajaan Terengganu bukanlah tidak mempunyai wang sehingga meletakkan pihak berkuasa kerajaan tempatan (PBT) seperti MBKT dalam keadaan terdesak sehingga perlu kepada menaikkan Cukai Pintu dalam keadaan rakyat sedang menanggung susah sekarang ini.  Kami berpandangan Kerajaan Terengganu mempunyai ruang yang luas dengan peruntukan belanjawan sebesar itu bagi membantu fungsi PBT.

6) Kenaikan harga Petroleum dan GAS dunia sangat berkait rapat dengan pendapatan royalti petroleum dan gas yang menjadi hak kerajaan Terengganu.  Dato’ Seri Menteri Besar berulangkali menyebut bahawa wang tersebut diterima oleh kerajaan negeri walau atas nama berbeza. Ini bermaksud bila harga petroleum dunia meningkat, terimaan wang berasaskan royalti petroleum Terengganu seharusnya meningkat dan lebih dari cukup untuk membiayai PBT tanpa perlu memberi tekanan tambahan dalam bentuk kenaikan cukai pintu kepada rakyat dalam keadaan sekarang.

Bagi menangani isu ini, Jawatankuasa bertindak Isu Cukai Pintu Terengganu akan menggerakkan  2 jenis kempen iaitulah Kempen Bantahan Bertulis Pemilik Premis yang mesti disempurnakan sebelum 2hb Jun 2014 dan Kempen Menggerakkan Bantahan Rakyat secara besar besaran sehingga Kerajaan Terengganu atau PBT yang berkenaan membatalkan kenaikan cukai pintu berkenaan.

Jawatankuasa Bertindak Isu Cukai Pintu Terengganu tiada halangan untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk parti-parti politik dalam membantu rakyat berdepan isu ini.

Sekian, terima kasih dan dengan hormatnya

Yang Benar
HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Pengerusi
JAWATANKUASA BERTINDAK ISU CUKAI PINTU TERENGGANU
6hb. Mei 2014

Written by

GANTI yang sesat dengan yang diredhai Allah. GANTI yang khianat dengan yang amanah. GANTI segala perancangan dan program yang membawa kerugian dengan keberuntungan. GANTI segala sifat mazmumah (buruk dan tercela) yang ada pada diri sendiri dan masyarakat dengan sifat mahmudah (baik dan terpuji) GANTI mengajak perubahan. GANTI IS FOR CHANGE!!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

© 2013 Gerakan Anak Terengganu Insaf [ GANTI ]. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top