Jumaat, 3 Januari 2014

Harussani ambil nas mana ‘halal darah’ peserta Turun

2:54 PTG

Saya melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Perak seperti yang tersiar di dalam akhbar Berita Harian dan laman portal Malaysiakini hari ini (semalam). Beliau di dalam kenyataannya menyatakan bahawa peserta-peserta Himpunan TURUN pada 31 Disember 2013 yang lepas sebagai bughah (penderhaka) bahkan lebih jauh lagi menjatuhkan hukum ‘halal darah’ kepada peserta himpunan itu. 
Saya menyifatkan kenyataan ini sebagai kenyataan yang sangat tersasar dan tidak syak lagi Mufti Perak telah bertindak sebagai seorang mufti yang sangat pro Barisan Nasional. Ingin saya tegaskan bahawa perhimpunan aman ialah salah satu hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, Mufti Perak  saya kira sengaja mengabaikan Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut dengan terang dan jelas bahawa rakyat Malaysia boleh berhimpun secara aman tanpa senjata dan ia dianggap sebagai hak asasi yang juga kebebasan fundamental mana mana rakyat negara ini. 
Mufti Perak dan kerajaan Barisan Nasional perlu faham Perlembagaan Persekutuan adalah undang undang tertinggi negara ini di mana semua undang undang dan tindakan pihak berkuasa adalah berasal dari Perlembagaan. Perlembagaanlah yang mengarah hala tuju undang undang dan perilaku pihak eksekutif, legislatif dan kehakiman termasuk pihak polis. 
Apabila Mufti Perak mengeluarkan kenyataan bahawa peserta himpunan adalah Bughah dan ‘halal darah’, saya ingin mengetahui dari nas mana hukum ini diambil? Para imam dari pelbagai mazhab dan para mujtahid majoritinya menyatakan bahawa keluar menentang pemerintah dengan senjata dan atau disebut memiliki kekuatan tempur (syaukah) sahaja  boleh dianggap sebagai penderhaka. Kaedah menangani golongan inipun masih dibincangkan secara panjang lebar di dalam kitab-kitab Fiqh dan bukannya terus dibunuh atas asas ‘halal darah’. Dari mana sumber nas yang digunakan oleh Mufti Perak yang tiba-tiba mengeluarkan kenyataan ‘halal darah’ ini? Atau dengan ayat yang lebih jelas, berapakah harga yang dibayar oleh Barisan Nasional untuk membeli ‘fatwa murahan’ sang mufti? 
Saya tidak bermaksud untuk mengajar Mufti Perak kerana saya maklum ketinggian ilmunya itu. Namun saya ragu-ragu dengan kefahaman beliau terhadap pengertian Bughah. Saya difahamkan bahawa beliau merupakan seorang yang kuat berpegang dengan Mazhab Syafie yang sangat kontra dengan fahaman kaum muda. Justeru, tentulah di dalam sulur galur pengajiannya akan terserempak dengan kitab Nihayatul Muntaj karangan Syeikh Syamsuddin Al-Ramli yang menjadi antara rujukan asas Fiqh di dalam Mazhab Syafie. Definisi Bughah menurut beliau ialah:
هُمْ مُخَالِفُو الْإِمَامِ بِخُرُوجٍ عَلَيْهِ وَتَرْكِ الِانْقِيَادِ أَوْ مَنْعِ حَقٍّ تَوَجَّهَ عَلَيْهِمْ بِشَرْطِ شَوْكَةٍ لَهُمْ  وَتَأْوِيلٍ
Yang bermaksud : ‘orang-orang Islam yang menentang pemimpin secara kekerasan dan meninggalkan ketaatan atau enggan menunaikan hak yang wajib ke atas mereka, dengan syarat mereka (al-Bughah) itu memiliki kekuatan senjata, mempunyai alasan penentangan dan mempunyai ketua.’ – Kitab Nihayatul Muntaj Ila Syarhil Manhaj, Jilid 25, halaman 381.

Sedarkah Mufti Perak bahawa rakyat yang keluar ke Himpunan TURUN tidak membawa sebilah senjata pun untuk menjatuhkan pemimpin? Jika adapun hanya bilah-bilah parang yang ditunjuk tanpa tuan punya sebagaimana himpunan-himpunan sebelum ini. Himpunan TURUN berlangsung dengan aman tanpa gangguan pihak polis dan para peserta kemudiannya bersurai tanpa sebarang insiden ganas. 
Saya hairan, tokoh agama seperti Mufti Perak tidak pula terasa kecenderungan untuk menegur konsert yang menampilkan pelbagai aksi melanggar syarak secara jelas dan menelas belanja RM15 juta itu. Barangkali gula-gula yang sedang dinikmati oleh Mufti Perak dibimbangi jatuh sekiranya mengeluarkan kenyataan begini? Bertakwalah kepada Allah wahai sang mufti. Ketika kerajaan Perak dirampas daripada jalan pintu belakang dan tidak melalui pintu demokrasi yang menjadi undang-undang negara, tuan mufti sibuk berlindung di dalam jubah. Hari ini apabila anak muda menggunakan hak yang dijamin di dalam perlembagaan, tuan mufti bangkit mengeluarkan hukum ‘halal darah’. 
Saya menganggap kenyataan Mufti Perak ini ialah kenyataan yang bahaya dan bukan satu kenyataan yang waras. Dengan rendah diri, saya suka mencabar Mufti Perak untuk berdialog di dalam mana-mana pentas terbuka di atas tajuk Bughah dan Halal Darah ini. Debat ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan maruah Mufti Perak yang tentunya sangat dihormati dan disegani, tetapi ia lebih bertujuan untuk mencari kebenaran. Jika kebenaran dan nas berpihak di sebelah Mufti Perak, nah halalkanlah darah jika tuan Mufti hauskannya.
Tanpa menafikan adanya para mufti dan ulama yang ikhlas, saya suka ingatkan mufti yang lain juga, tidak perlulah menumpang memberi kenyataan yang karut dan tidak bersandarkan nas semata-mata kerana ingin mendapatkan habuan sementara. Kerusi empuk yang anda duduki itu bukan milik anda selama-lamanya. Jika ilmu menjadi ukuran, barangkali bukan di situ kedudukan anda. 
Sekian, wassalam. 
2 Januari 2013 
* Penulis merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Dakwah Islamiah Universiti al-Azhar, Mesir. Di dalam politik, beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan dan juga Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia. Tulisan ini merupakan pandangan peribadinya semata-mata.

Written by

GANTI yang sesat dengan yang diredhai Allah. GANTI yang khianat dengan yang amanah. GANTI segala perancangan dan program yang membawa kerugian dengan keberuntungan. GANTI segala sifat mazmumah (buruk dan tercela) yang ada pada diri sendiri dan masyarakat dengan sifat mahmudah (baik dan terpuji) GANTI mengajak perubahan. GANTI IS FOR CHANGE!!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

© 2013 Gerakan Anak Terengganu Insaf [ GANTI ]. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top