Isnin, 2 Disember 2013

Pasaraya Sabasun mungkin ditutup, topik hangat di Terengganu

8:33 PTG

Pasaraya Sabasun di Bukit Kecil, Terengganu.Pasaraya Sabasun di Bukit Kecil, Terengganu.Tindakan kerajaan negeri Terengganu yang dilihat cuba menghancurkan rangkaian pasaraya tempatan, Sabasun Hyperruncit mendapat tentangan rakyat negeri itu sehingga menjadi perbincangan hangat.
Ia bukan sahaja menjadi topik perbincangan di kedai kopi, masjid serta surau, malah menjadi hanya dalam media sosial di kalangan anak Terengganu dan ahli perniagaan Melayu.
18 tahun lalu, ketika ekonomi negara tidak berapa baik, sepasang suami isteri yang baru pulang dari belajar di luar negara menyahut seruan kerajaan untuk bekerja sendiri dengan menjadi usahawan.
Selepas bekerja keras melalui syarikat mereka, Sabasun, singkatan perkataan 'sabar sungguh', mereka berjaya mempunyai dua pasaraya di Kuala Terengganu, Sabasun 1 di Bukit Kecil dan Sabasun 2 di Wakaf Tembesu dan kini mempunyai kira-kira 550 pekerja yang semuanya adalah rakyat tempatan.
Namun, kini syarikat milik penuh Bumiputera dan sangat berdaya maju itu mengalami dilema.
Sabasun 1 tidak mendapat CF manakala Sabasun 2 pula sedang cuba dihancurkan oleh kerajaan negeri sendiri untuk memberikan laluan  kepada konglomerat pasaraya antarabangsa masuk ke kawasan itu.
Pemiliknya, Che Salmi Che Ibrahim, berkata mereka tidak kisah terpaksa bersaing tetapi usaha untuk menutup pasaraya mereka sangat tidak boleh diterima.
Katanya, Sabasun dibuka pada 1995 dengan hanya kedai runcit dua pintu sebelum mereka mengusahakan sebuah bangunan baru di sebelah kedai berkenaan pada 1999 hingga sekarang yang dikenali sebagai Sabasun 1 di Bukit Kecil.
Berikutan tindakan kerajaan menutup tempat letak kenderaan di jalan utama, mereka mengusahakan tanah paya di belakang kedai untuk dijadikan lot letak kenderaan dengan menyewa tanah itu daripada Majlis Perbandaran Kuala Terengganu.
Pada 2007, pengusahanya mula mencari tapak baru dan memilih Wakaf Tembesu iaitu di sekitar kawasan perindustrian Gong Badak dan pada ketika itu, tapak berkenaan hanya kawasan paya dan gelap.
"Sikit demi sedikit, bila tempat dah naik comel. Bagi peluang kepada 150 orang anak Terengganu kat sini.  Tiba-tiba, nak buat bangunan baru kat sini, pihak kerajaan cakap, tanah kami 10 hektar ini akan diambil balik oleh kerajaan atas alasan nak buat bandar baru Perkasa Alam. Tanah kami ini akan diberi kepada orang asing untuk dibangunkan," cerita Salmi.
The Malaysian Insider diberitahu, surat terakhir daripada Dewan Bandaraya Kuala Terengganu (DBKT) memaklumkan, permohonan dan cadangan Sabasun untuk membangunkan tanah mereka secara komprehensif itu ditolak.
Alasan yang diberikan melalui surat bertarikh 6 Jun 2013 itu ialah kerajaan negeri mahu membangunkan bandar baru Perkasa Alam bersaiz 378 ekar, termasuk 10 ekar milik Sabasun itu.
Salmi bagaimanapun tidak berputus asa dan menghantar satu lagi surat rayuan terus kepada Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (Upen) pada 24 September lalu.
"Saya difahamkan, Sabasun akan dihalau keluar, ‘Jaya Jusco’ akan bertandang atas tanah kami. Ini yang dikatakan menang sorak, kampung tergadai, kami anak tempatan, usahawan negeri.
"Seperti ayam dikepok mati kelaparan, itik di air mati kehausan. Ini akan berlaku seterusnya kepada anak cucu kita, kalau kita tak melakukan apa-apa pada hari ini," kata Che Salmi dalam satu wawancara dengan sebuah laman web tempatan, Buletinonline.
Perjuangan Che Salmi dan pekerjanya kini mendapat sokongan NGO tempatan, Gerakan Anak Terengganu Insaf atau singkatannya Ganti.
Che Salmi...Sabasun jadi tumpuan penduduk setempat kerana harganya kompetitif.Che Salmi...Sabasun jadi tumpuan penduduk setempat kerana harganya kompetitif.Presidennya, Ahmad Amzad Hashim, berkata pihaknya sedang berusaha untuk membantu Sabasun dalam menjaga kepentingan usahawan tempatan.
"Bagi saya Sabasun adalah simbol betapa sukarnya perjuangan anak tempatan untuk bangun dalam perniagaan. Bukan sahaja mereka terpaksa berdepan dengan pesaing yang dibawa dari luar bahkan kerajaan negeri sendiri," katanya kepada The Malaysian Insider.
Amzat berkata, Sabasun menjadi tumpuan kepada pengguna tempatan untuk membeli barangan keperluan harian mereka kerana harganya kompetatif dan pengurusannya yang cekap.
Kerajaan negeri Terengganu mengambil keputusan untuk merobohkan Pasar Payang untuk memberikan laluan kepada pembinaan pasaraya moden serta hotel dan kondominium di situ.
Sehubungan itu, nasib peniaga di pasar tradisi itu tidak menentu dan keadaan sama menimpa peniaga di Pasar Cabang Tiga juga apabila pasar itu juga mahu dirobohkan.
Bagi menghadapi semua cabaran ini, Amzat dan rakan-rakannya akan menganjurkan satu konvensyen pembangunan usahawan di Kuala Terengganu awal tahun depan.
"Kita akan jemput semua pihak yang terlibat untuk membincangkan isu ini secara terbuka," katanya. – 2 Disember, 2013.

Written by

GANTI yang sesat dengan yang diredhai Allah. GANTI yang khianat dengan yang amanah. GANTI segala perancangan dan program yang membawa kerugian dengan keberuntungan. GANTI segala sifat mazmumah (buruk dan tercela) yang ada pada diri sendiri dan masyarakat dengan sifat mahmudah (baik dan terpuji) GANTI mengajak perubahan. GANTI IS FOR CHANGE!!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

© 2013 Gerakan Anak Terengganu Insaf [ GANTI ]. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top