Isnin, 2 Disember 2013

Grand design BN hancurkan KeADILan sebelum PRU14

12:10 PG

TIADA pilihan raya kecil di Sabah atau mana-mana tempat di negara ini berlaku sekarang. PRK Sungai Limau pun sudah berlalu. Begitu juga pilihanraya umum, hampir pasti ia tidak akan berlaku dalam masa kurang dari tiga tahun dari sekarang. Maknanya lambat lagi PRU akan berlaku.

Tiba-tiba media melaporkan pemimpin 11 cabang KeADILan Sabah mengambil keputusan untuk keluar parti hari ini dan menyokong Barisan Nasional. Mereka yang hadir pada sidang media itu ialah Akhmain Sabtu (Ketua Cabang KeADILan Kudat), Anthony Mandiau (Ketua Cabang Kota Marudu), Juhani Abd Halim (Ketua Cabang Silam), Mohd Jun (Ketua Cabang Kalabakan), Mustapha Tambuyung (Ketua Cabang Kinabatangan), Lokman Ureh (Ketua Cabang Semporna), Timothy Lim (Ketua Cabang Sepanggar), Apandy Sipin (Ketua Cabang Pensiangan) dan Aris Remigius (Ketua Cabang Batu Sapi), Angki Addek (Timbalan Ketua Cabang Kota Marudu) dan Soloh Yuna (Ketua Penerangan Kota Belud).

Mereka hadir mengadakan sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Menurut Pengerusi BN itu, akan berlaku gelombang kedua di mana lebih ramai anggota KeADILan keluar parti menyokong BN. Katanya, dengan apa yang sudah berlaku dan akan berlaku bererti bahawa KeADILan di Sabah hampir lumpuh dan sebaliknya parti BN semakin kuat, semakin utuh dan semakin mendapat kepercayaan rakyat Sabah. Hebat juga perang saraf Najib.
Pengerusi KeADILan Sabah Datuk Seri Lajim Ukin pula mendakwa hanya lapan pemimpin KeADILan yang keluar daripada parti itu. Beliau berkata tiga daripada mereka adalah ketua cabang dari Kinabatangan, Kota Marudu dan Silam.
  
"Sementara selebihnya adalah terdiri daripada pemangku, naib ketua dan ahli-ahli biasa manakala Cabang Beluran masih belum mendapat kepastian," katanya pada sidang media.

Lapan atau 11 bukan persoalannya sekarang. Isunya ialah, apa yang sebenarnya berlaku sehingga berlaku tindakan nekad keluar parti beramai-ramai itu? Soalan tersebut tidak memerlukan jawapan sebenarnya. Mereka mengadakan sidang media bersama Najib. Apa sahaja alasan terhadap terhadap tindakan mereka tidak boleh dipakai kerana dalangnya BN dan Najib.

Sejurus selepas PRK Sungai Limau baru-baru ini, bekas Pengerusi Perhubungan KeADILan Kedah Dato’ Wan Salleh Wan Isa juga isytiharkan keluar parti. Wan Salleh bukan orang kecil tapi beritanya keluar parti sudah tidak jadi besar. Sebabnya, cerita keluar parti dalam KeADILan terlalu lumrah serta tiada lagi nilai berita.

Sejak ditubuhkan pasca era reformasi 1998 hingga kini, senarai keluar parti oleh para pemimpin dan ahli-ahli dalam KeADILan terlalu panjang. Boleh dicatat dalam World Records of Guinness Book sebagai parti politik yang paling ramai pemimpin keluar parti namun parti masih bertahan.

Di peringkat awal KeADILan menjejak kaki dalam politik, tindakan keluar parti oleh anggotanya dianggap sebagai pembersihan. Malahan selepas menang agak besar PRU12 pun, tindakan melompat parti oleh ramai wakil rakyatnya masih dianggap proses pembersihan parti. Sama ada terlalu banyak kotoran atau tersalah sabun, proses pembersihan berlaku dalam KeADILan sehingga tumbangnya sebuah negeri iaitu Perak. Kini selepas empat kali PRU tanggapan bahawa ianya adalah proses pembersihan parti sudah tidak boleh dipakai.

Dalam sejarah Malaysia, hanya dua parti yang didominasi oleh Melayu/Islam dapat bertahan lebih 50 tahun iaitu PAS dan Umno. Nasma, Berjasa, Hamim, Semangat 46, Kita – semuanya sama ada sudah berkubur atau boleh dianggap sudah berkubur. Antara sebab mereka berkubur ialah kerana mereka pembangkang. Ketidaksanggupan para pemimpin mahupun ahli-ahlinya untuk berkorban sedangkan ‘tiada hasil’ yang diperolehi dalam tempoh parti belum berkuasa adalah penyebabnya. Apatah lagi bila datang tawaran dari parti pemerintah Umno yang sering mengumpan dengan laba duniawi, maka seorang demi seorang pemimpin parti-parti tersebut tewas. Strategi yang digunakan BN terhadap parti-parti tersebut, itulah yang sedang digunakan untuk menghadapi KeADILan.
Umno masih bertahan kerana Malaysia dianugerahkan kemerdekaan melalui Umno. Lalu Umno memperalat dan menyalahgunakan sepenuhnya kuasa yang dimiliki untuk mempertahankan kuasa mereka. Talian hayat Umno ialah kuasa dan wang, tanpanya Umno sudah berkubur macam parti Melayu yang lain.
PAS juga tidak berkubur, malah masih gagah hingga kini. Rahsianya kerana PAS berjuang berlandaskan Islam. Setiap anggota PAS adalah pejuang Islam yang ikhlas berjuang kerana Allah semata-mata. Matlamat utama para pejuang PAS ialah akhirat, bukan dunia semata-mata. Kerana Allah jadi matlamat dan sehingga kini ia didokong oleh kepimpinan yang ikhlas kerana Allah maka perjuangan PAS tidak berkubur.
Ancaman terbesar bagi BN ialah Pakatan Rakyat yang di dalamnya terdapat PAS, KeADILan dan DAP. Di samping BN berusaha untuk memecahkan perpaduan dalam Pakatan sebagai strategi utama mengekalkan kuasa, BN akan berusaha melumpuhkan mana-mana parti komponen dalam Pakatan. BN sedang melakukan kerja keras untuk menghancurkan KeADILan sebab sedar ia adalah parti yang mereka rasa ‘boleh makan’, berbanding PAS dan DAP. BN telah melakukan dengan agak berjaya pasca PRU12 hingga menjelang PRU13. Apa yang berlaku terhadap KeADILan adalah antara sebab yang menyumbang kemerosotan orang Melayu terhadap Pakatan.
Satu lagi sebab utama mengapa KeADILan mesti dilumpuhkan ialah, parti itu semacam pengikat perpaduan antara PAS dan DAP, dua komponen Pakatan yang berbeza ideologi. Bagi BN, tanpa KeADILan atau lebih tepat lagi tanpa Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka PAS dan DAP mudah direnggangkan. Itu teori mereka.
Terdapat laporan bahawa grand design BN sekarang ialah cuba menghancurkan keADILan menjelang PRU14 melalui apa cara sekalipun. Sebab itulah tindakan melumpuhkan parti tersebut dibuat tanpa mengira musim lagi. Apabila seorang Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN sendiri bercakap mengenai gelombang kedua kehancuran KeADILan, maknanya visi tersebut merupakan perancangan besar mereka.
KeADILan dan rakan kerjasama PAS dan DAP kena memikirkan sesuatu dengan serius untuk mengekangnya, bagi mempastikan perjalanan ke Putrajaya PRU14 tidak terbantut lagi.

Written by

GANTI yang sesat dengan yang diredhai Allah. GANTI yang khianat dengan yang amanah. GANTI segala perancangan dan program yang membawa kerugian dengan keberuntungan. GANTI segala sifat mazmumah (buruk dan tercela) yang ada pada diri sendiri dan masyarakat dengan sifat mahmudah (baik dan terpuji) GANTI mengajak perubahan. GANTI IS FOR CHANGE!!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

© 2013 Gerakan Anak Terengganu Insaf [ GANTI ]. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top