Ahad, 17 November 2013

TANGGUNGJAWAB LAKSANA AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

8:41 PG

Tazkirah Kasih Sayang Sesama Kita

Pendakwah atau petugas mesti berusaha terapkan pembawaan sederhana, bersikap mencegah MAKSUD amar makruf ialah mengajak manusia melakukan perkara kebaikan, manakala nahi mungkar pula mencegah manusia daripada melakukan perkara tidak baik. Oleh itu, perkataan dakwah, amar makruf dan nahi mungkar selalu digunakan merujuk kepada mengajak manusia ke arah kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.



Dalam karya fiqh klasik, istilah amar makruf nahi mungkar, jihad dan dakwah sering kali digunakan untuk merujuk kepada maksud yang sama. Dalam al-Quran, perkataan amar makruf dan nahi mungkar digunakan sekurang-kurangnya lapan kali.

Semua merujuk kepada tanggungjawab kolektif setiap Muslim dalam melaksanakan kewajipan itu. Firman Allah yang bermaksud:

"Hendaklah terdapat antara kamu segolongan yang menyeru dengan kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Itulah golongan yang berjaya."

(Surah Ali-Imran, ayat 104)

Amar Makruf

Kewajipan Muslim melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar sebagai tugas dakwah juga disebut dalam hadis yang bermaksud:

"Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW menggunakan istilah taghyir yang bermaksud kewajipan untuk mengubah perkara tidak baik kepada yang lebih baik dan mencegah sesuatu kemungkaran daripada berlaku. Hadis itu juga menunjukkan setiap Muslim harus melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar secara berperingkat. Pertama, ialah dengan tindakan; kedua dengan perkataan; ketiga dengan hati. Berdasarkan hujah itu, perkataan dakwah mencakupi perbuatan amar makruf dan nahi mungkar kerana amar makruf ialah ajakan melakukan amalan baik, manakala nahi mungkar ajakan menjauhi perbuatan tidak baik.

Dakwah

Realiti masyarakat Islam sekarang, ada pelbagai sebab kenapa dakwah itu menjadi tuntutan ke atas setiap individu Muslim. Antaranya, memberi pendidikan terhadap akhlak dan moral; pendidikan akidah dan sebarang aspek penyelewengan; pendidikan aspek pemikiran barat dan cara menanganinya dan pendidikan pentingnya peranan ilmu dan perpaduan di kalangan umat Islam.

Dakwah juga hendaklah disesuaikan dengan keadaan masyarakat dan semasa. Oleh kerana kita berdakwah dalam masyarakat maka pemahaman berkaitan masyarakat yang ingin diajak adalah perlu. Penyelidikan juga harus dilakukan untuk memahami budaya dan cara hidup mereka.

Berdasarkan beberapa pendapat ulama, golongan manusia berkewajipan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar ialah orang Islam. Selain itu, ada beberapa syarat tambahan iaitu seorang yang mukalaf, mempunyai akhlak baik supaya tugas dakwah dilaksanakan memberi impak positif.

Antaranya, mestilah mempunyai kemampuan dan pengetahuan (untuk membezakan antara perkara baik dan salah) dan wujud kerjasama antara masyarakat dengan pihak berkuasa.

Prinsip

Secara prinsipnya. manusia ialah sumber pembangunan ekonomi negara, sosial, budaya dan akhlak. Manusia bukan saja memiliki sumber pengetahuan, saintifik, teknologi, teknikal dan vokasional tetapi lebih mustahak lagi ialah agama dan moral.

Masalah yang sering dihadapi umat Islam dalam menjalankan amar makruf dan nahi mungkar ialah masalah manusia. Masalah manusia tidak bermaksud masalah tidak cekap ketika menjalankan kewajipan saja, tetapi masalah kefahaman, konsisten dan komitmen.

Manusia yang mempunyai kelayakan akademik dan kemahiran profesional boleh menjadi tidak cekap dan telus menjalankan amar makruf dan nahi mungkar jika tidak mempunyai kebijaksanaan serta komitmen tinggi. Perkara mungkar boleh jadi tidak dapat dicegah jika manusia yang bertugas menghalangnya tidak benar bertanggungjawab, tidak diberi kepercayaan dan tidak bijaksana. Banyak pihak sudah mengetahui bagaimana sesebuah badan dakwah mengalami krisis keyakinan dan kepercayaan disebabkan orang yang terbabit dalam tugas amar makruf dan nahi mungkar itu tidak berilmu dan berkelayakan.

Mereka boleh jadi mempunyai kelayakan akademik dan pengalaman dalam hal ehwal agama Islam, tetapi tidak mempunyai ciri pendakwah atau pelaksana amar makruf dan nahi mungkar yang baik. Mereka mempunyai masalah kekurangan persiapan diri dengan kemahiran asas dalam teknik komunikasi, kurang pengetahuan latar belakang sasaran, tidak menggunakan kaedah dakwah yang jelas dan kurang berjaya menjadi golongan contoh.

Jati Diri

Amar makruf dan nahi mungkar bertujuan membetulkan jati diri manusia. Ancaman agama, budaya dan kepercayaan tidak akan berjaya memusnahkan identiti orang Islam jika mereka mampu menentangnya dengan kepercayaan dalaman yang kuat berprinsipkan akidah Islam yang betul. Ada kalanya usaha manusia untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar menciptakan peraturan tambahan yang tidak wajib, malah menyusahkan pula. Selain itu, hal yang perlu diberi perhatian ialah proses amar makruf dan nahi mungkar mesti berjalan seiringan.

Tidak boleh manusia berusaha menghukum atau mendisiplinkan masyarakat dan pada masa sama membiarkan budaya dan perlakuan tidak bermoral disebarkan melalui media massa. Masalah sosial dan akhlak ini tidak akan berhasil jika asyik melancarkan gerakan kilat dan mengejut untuk mencegah gejalanya, tetapi tidak membetulkan sistem yang melahirkan punca timbulnya pelbagai masalah sosial.

Modal yang perlu ada pada setiap pendakwah ialah modal agama, pendidikan yang betul dan kebijaksanaan selain mempunyai rasa tanggungjawab untuk mengetahui tabiat manusia, masyarakat dan alam sekitar serta mempunyai kesungguhan meneroka disiplin ilmu sesuai aktiviti dakwahnya. Pendakwah atau petugas amar makruf dan nahi munkar mesti berusaha menerapkan pembawaan sederhana, bersikap mencegah bukannya menghukum dan berupaya bercakap dalam bahasa mudah diterima sesuai dengan sasaran.

( artikel ini saya petik dari sebuah portal kerajaan dgn diperbaiki sedikit)

Ahmad Amzad Hashim
Durian Burung, Terengganu

Written by

GANTI yang sesat dengan yang diredhai Allah. GANTI yang khianat dengan yang amanah. GANTI segala perancangan dan program yang membawa kerugian dengan keberuntungan. GANTI segala sifat mazmumah (buruk dan tercela) yang ada pada diri sendiri dan masyarakat dengan sifat mahmudah (baik dan terpuji) GANTI mengajak perubahan. GANTI IS FOR CHANGE!!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

© 2013 Gerakan Anak Terengganu Insaf [ GANTI ]. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top