Selasa, 19 November 2013

Selangor bentang bajet berimbang RM1.85 bilion

6:51 PTG

Harakahdaily,19 Nov 2013

SHAH ALAM:Kerajaan Selangor hari ini membentangkan bajet berimbang berjumlah RM1.85 bilion bagi 2014, yang merupakan peningkatan kira-kira 13 peratus berbanding RM1.63 bilion tahun ini.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM1.225 bilion atau 66.2 peratus diperuntukkan bagi belanja mengurus, manakala lebih RM624.919 juta ataupun 33.78 peratus diperuntukkan bagi  pembangunan negeri, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa membentangkan bajet itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Beliau berkata daripada peruntukan mengurus, sejumlah RM421.748 juta atau 34.43 peratus adalah untuk perkhidmatan dan bekalan,  RM411.801 juta untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap, RM370.552  juta untuk pembayaran emolumen, RM6.416 juta untuk pembelian aset dan  RM14.591 juta bagi perbelanjaan lain.

"Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah RM388.728 juta atau  62.2 peratus  untuk infrastruktur, RM143.182 juta  atau 22.91 peratus untuk sektor sosial, RM90.401 juta atau 14.47  peratus untuk sektor ekonomi dan RM2.608 juta ataupun 0.42 peratus  untuk sektor perbandaran," katanya.

Bajet itu bertema “Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi,  Maslahat Rakyat” turut memperuntuk RM430 juta dari rizab negeri yang berjumlah RM2.712 bilion untuk membiayai pembangunan untuk rakyat Selangor.

Abdul Khalid berkata RM430 juta adalah untuk enam inisiatif iaitu  RM150 juta bagi pembinaan jambatan ketiga Klang, RM100 juta bagi rumah mampu milik, RM150 juta bagi pembinaan bangunan sekolah, pembangunan  usahawan, pemberdayaan belia serta pembangunan desa dan RM30 juta untuk pemberdayaan wanita. 


Beliau berkata bermula tahun hadapan, semua perincian mengenai pengunaan rizab mesti dibentangkan dan mendapat kelulusan Dewan Negeri Selangor bagi memastikan ia digunakan sebaik mungkin untuk rakyat.

Beliau turut memaklumkan sidang Dewan bahawa kerajaan negeri  akan memperkenalkan amalan menyemak belanjawan negeri setiap enam  bulan untuk memantau keseimbangan antara perbelanjaan dan pendapatan supaya perbelanjaan luar kemampuan tidak berlaku.

Sebuah Jawatankuasa Penambahbaikan Pentadbiran, Agensi  dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) juga akan ditubuhkan, antara lain untuk menyemak segala aspek berkaitan proses, prosedur, sistem dan  modal insan untuk diselaraskan dengan standard dan amalan antarabangsa, katanya. - Bernama

Written by

GANTI yang sesat dengan yang diredhai Allah. GANTI yang khianat dengan yang amanah. GANTI segala perancangan dan program yang membawa kerugian dengan keberuntungan. GANTI segala sifat mazmumah (buruk dan tercela) yang ada pada diri sendiri dan masyarakat dengan sifat mahmudah (baik dan terpuji) GANTI mengajak perubahan. GANTI IS FOR CHANGE!!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

© 2013 Gerakan Anak Terengganu Insaf [ GANTI ]. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top