Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Soon mengumumkan di Parlimen baru-baru ini bahawa Projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 yang menghubungkan Terengganu ke Kuala Lumpur hanya dijangka dapat dibuka sepenuhnya kepada orang ramai pada Ogos 2014.
Projek sejauh 185 kilometer yang pada asalnya menelan kos RM3.7 billion masih tidak dapat digunakan sepenuhnya setelah berlakunya kelewatan yang ketara dari tarikh jangka siap.
Timbalan Menteri berkenaan juga menyatakan bahawa sebab utama berlakunya kelewatan ia disiapkan adalah kerana kegagalan kontraktor menyiapkannya mengikut tempoh yang ditetapkan kerana kesan dari kenaikan harga barangan pembuatan pada 2007-2008.
Akibatnya, 10 dari pakej lebuhraya itu terpaksa ditender semula. Projek yang bermula pada awal tahun 2006 ini pada mulanya dijadualkan siap akhir 2010.
Namun ia telah mengalami kelewatan yang ketara dan hanya dijangkakan akan siap sepenuhnya pada akhir tahun 2014.
Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Terengganu, Datuk Za’abar Mohd Adib menyatakan bahawa Kerajaan negeri mewujudkan banyak pakej untuk projek lebuhraya LPT 2 ini kerana pada asalnya ingin memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera tempatan Terengganu bagi menjalankan kerja-kerja.
Malangnya rata-rata kontraktor yang dilantik mendakwa projek itu tidak dapat disiapkan kerana disebabkan beberapa faktor iaitu kemendapan tanah, kenaikan harga barang dan kecurian kabel elektrik.
Akibat dari itu kerajaan negeri terpaksa menamatkan enam tender yang telah diagihkan kepada enam syarikat.
Persoalan besar yang timbul adalah kenapakah projek yang menelan belanja lebih RM 3.7 billion ini amat jauh tersasar dari tarikh jangka siap iaitu pada tahun 2010 lagi.
Begitu juga dengan tanggungan kosnya kini telah melambung tinggi kepada lebih RM5 bilion akibat berlakunya kelewatan yang amat ketara.
Kini timbul persoalan, pihak manakah pula yang akan menanggung semua kos tambahan akibat kelewatan yang amat ketara ini?
Namun realitinya projek mega LPT 2 ini yang tertangguh lebih 3 tahun daripada jadual asal adalah akibat dari kerenah 'kontraktor kroni’ yang bermasalah.
Apa yang nyata, kegagalan projek ini ada suatu pakatan kerjasama antara beberapa kalangan pimpinan Umno negeri Terengganu dan ‘kontraktor kroni’ yang mengaut habuan keuntungan yang berlipat kali ganda.
Anugerah setiap pakej kontrak pula ditentukan oleh ’tangan politik’ pemimpin-pemimpin Umno/BN.
Begitu juga dengan punca utama kelewatan membuat keputusan oleh pengurusan di peringkat Kerajaan Pusat terutamanya dari Jabatan Kerja Raya sendiri.
Ianya bukan sekali-kali kerana kelemahan pegawai yang menjalankan tugas, tetapi kerana gangguan oleh kroni dan kuncu-kuncu politik Umno yang mempunyai hubungan dengan Menteri dan pejabat Perdana Menteri sendiri.
Walaupun terdapat banyak bukti-bukti kukuh bahawa kroni Umno terlalu berpengaruh hingga usaha untuk ‘membersihkan’ projek lebuhraya ini dari sebarang unsur rasuah dan penyelewengan, namun, usaha ini menjadi sia-sia akibat tekanan politik dan ianya terus lewat dari tempuh yang ditetapkan.
Sebagai contohnya, tender untuk pakej 4 dan 7 projek lebuhraya LPT 2 ini telah beberapa kali terpaksa ditangguhkan kerana adanya tangan-tangan ghaib dari kalangan pimpinan Umno Terengganu yang menggangu urusan pegawai-pegawai yang menjalankan tugas mereka.
Kegagalan itu adalah disebabkan oleh yang dapat kontrakt bukan dari kalangan kontraktor, tapi pemilik lesen dari kalangan Umno yang memiliki lesen kontraktor kelas A dan dikatakan Berwibawa.
Mereka-mereka ini mendapat kontrak, namun apabila mendapatnya, ia terus di jual kepada broker yang lain bagi mengaut keuntungan yang cepat.
Mereka ini ibarat menyapu untung ‘Atas Angin’ dengan menjualnya kepada orang tengah. Akibatnya rakyat kini terpaksa menanggung kerugian yang berbilion ringgit.
Ya, inilah realiti di negeri penyu bertelur ini. Rakyat akan terus terpaksa menanggung bebanan kemiskinan dan kesempitan hidup yang amat memeritkan.
Kerajaan negeri pula terus berbelanja mewah untuk kroni dengan pelbagai projek Mega yang berhadapan dengan pelbagai skandal, salah-urus dan pembaziran yang berterusan.
Kontraktor kroni akan terus mengaut laba keuntungan dari titik peluh rakyat yang miskin. Malang, Oh sungguh malang nasib rakyat Ganu Kite ini.
*Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adu Batu Buruk, Terengganu. Email: syedazmans@yahoo.co.uk, Twitter; @syedazman
0 ulasan:
Catat Ulasan