MARANG – Kebimbangan seorang kakak sesuatu yang buruk menimpa adiknya jika terus menunggang motosikal di jalan raya, berakhir tragedi apabila adiknya itu maut dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Rusila, di sini, malam kelmarin.
Khalida Zakaria, 28, berkata, adiknya, Ahmad Adhwa Zakaria, 15, pernah terlibat kemalangan ketika menunggang motosikal di Kampung Batangan, di sini, pada Ogos lalu, namun hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan.
“Sejak kejadian itu, saya sentiasa berpesan kepadanya agar berhati-hati jika menunggang motosikal. Bukan saya sahaja, tetapi semua ahli keluarga menyampaikan pesanan sama setiap hari kerana bimbang keselamatannya.
“Kami juga bimbang kejadian sama berulang dan ternyata, ia menjadi kenyataan apabila Adhwa sekali lagi terlibat dalam kemalangan. Namun kali ini, ia berakhir dengan kematian,” katanya di rumahnya di Kampung Masjid Rusila, di sini, semalam.
Lebih menyedihkan, Khalida berkata, mangsa yang merupakan anak keempat daripada enam beradik, baru sahaja selesai menduduki PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Rusila, di sini, baru-baru ini.
Mangsa meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu kira-kira jam 4.10 pagi semalam selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza.
Mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dan seorang lagi mangsa menunggang motosikal Honda C70, merempuh bahagian belakang serta sisi MPV itu dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam kelmarin.
Difahamkan, penunggang motosikal jenis Honda C70 patah kaki kanan, manakala pemandu MPV tidak mengalami kecederaan serius.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika pemandu MPV membuat pusingan U menuju ke arah Kuala Terengganu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya yang mengesahkan menerima laporan kejadian berkata, kes kemalangan tersebut masih dalam siasatan.
Isnin, 18 November 2013
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan