Oleh: YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Bismillah. Alhamdulillah dan segala puji bagi rasulullah saw. Bersyukur kita kepada Allah kerana dengan limpah rahmatNya diberikan umur untuk berada dalam bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran rasulullah saw insan yang kita cintai.
Bertemakan tema yang sama, Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah, membayangkan kepada kita semua betapa pentingnya kesederhanaan dalam mengharungi kehidupan ini. Contoh yang rasulullah berikan ketika memimpin umatnya, tidak menggambarkan bahawa baginda seorang pemimpin yang gila kuasa, harta, pangkat atau semua hal keduniaan.
Disebabkan fokus baginda hanyalah ditumpukan kepada menyelamatkan manusia dari kesesatan kepada jalan yang benar dan lurus, sambungan dari agama nenek moyang mereka iaitu Nabi Ibrahim a.s, maka baginda tidak tertarik kepada kemewahan dunia. Tidak seperti pemimpin sekarang yang begitu rakus membahagi-bahagikan harta sesama mereka seolah-olah harta itu milik mereka.
Rasulullah juga melaksanakan amanah dengan sepenuh hati hanya kerana Allah kerana baginda sedar bahawa baginda akan kembali mengadap Allah apabila tiba masanya. Sedangkan pemimpin sekarang menyakini akan amanah itu adalah keuntungan bagi membaham harta negara dan sepertinya mereka tidak akan mati.
Rasulullah dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang amanah dan setia kepada perintah Allah dan rasul dan memberi nasihat yang betul kepada rasulullah berbanding kepimpinan sekarang yang mempunyai penasihat-penasihat yang sentiasa dalam fikiran mereka bagaimana mahu menambahkan lagi harta dengan mudah.
Tiada lagi takut dengan amaran Allah dan rasul. Rasulullah juga sentiasa mengajarkan ilmu agar umat baginda pandai dan tahu yang mana betul dan salah mengikut acuan Islam. Tetapi pemimpin sekarang ini terus-terusan memperbodohkan rakyat dengan pelbagai cara dan rupa agar senang bagi mereka melaksanakan kerja-kerja jahat mereka.
Perkataan kezaliman dan penindasan keatas rakyat baginda tidak pernah wujud dalam kamus hidup baginda kerana sifat seorang pemimpin sejati ialah melindungi rakyatnya bukan menzalimi mereka. Tetapi kezaliman bagi pemimpin sekarang ibarat aur dengan tebing. Rakyat ditindas dan dizalimi kerana bimbang akan kuasa mereka tergugat. Apa-apa perkara yang menyusahkan, rakyat akan kena dulu.
Ketika rakyat diminta berjimat cermat, kisah-kisah sang ketua pula yang bermandikan wang, menabur duit disana-sini cukup pantas berlegar di depan mata yang menjadikan rakyat cukup mual kepada pemimpin. Dibandingkan dengan rasulullah saw yang benar-benar hidup dalam wasitiyyah sehinggakan makan baginda kadang-kadang tidak cukup, dan akhirnya wafat dalam keadaan hampir tiada harta dengan baju besi baginda digadaikan kepada seorang yahudi walaupun dia menjadi pemerintah yang sedang berkembang biak disebelah arab.
Cubalah kita benar-benar memahami slogan yang diberikan agar kita bukan sahaja dapat menyelaminya malah sekaligus menjadikan wasatiyyah atau kesederhanaan itu sebagai amalan. Tapi malangnya kesederhanaan rasulullah tidak diikuti tetapi pembaziran yang diteruskan. Sedangkan rasulullah saw diutuskan bagi membawa rahmat ke seluruh alam.
Juga akhlak rasulullah tidak dituruti sedangkan hadis menyebut, baginda diutus bagi menyempurnakan akhlak yang mulia. Kita perlu membuang jauh-jauh pemimpin yang hanya pandai bercakap tentang kehebatan rasulullah dalam masa yang sama menentang segala sunnah dan suruhan dari Allah dan rasul sebaliknya pula mengamalkan apa yang Allah dan rasul larang. Mereka inilah yang menghancurkan kesatuan ummah sebenarnya. Moga kita terlindung dari kepalsuan ini. Allahumma solli ala Muhammad wa ala aali muhammad.
*** Ustaz Mohd Nor Hamzah adalah Ketua Penerangan PAS Terengganu dan juga ADUN Bukit Payong.
0 ulasan:
Catat Ulasan