Berita seperti dipetik dari Akhbar Online The Malaysian Insider.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Baharin Raja Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad berkata, projek tambakan sungai Terengganu itu adalah fasa 2 bagi projek esplanade yang dibuat kerajaan negeri Terengganu.
"Kami sangat bimbang, jika projek ini diteruskan tanpa kajian yang mendalam bakal menyebabkan bencana kepada lebih 150,000 penduduk Kuala Terengganu ini," kata mereka kepada The Malaysian Insider.
Mereka berkata, tambakan itu adalah sambungan kepada projek membina kondominium 30 tingkat dan hotel 20 tingkat di atas tapak Pasar Payang yang akan dirobohkan.
Katanya, projek tambakan sungai itu melibatkan keluasan 140 ekar di Seberang Takir di utara dan 40 ekar di Tanjung di selatan muara sungai yang akan menyempitkan muara sungai itu.
Kerajaan negeri Terengganu menganugerahkan projek itu tanpa tender terbuka kepada Kumpulan Liziz Sdn Bhd secara reka dan bina.
"Saya dimaklumkan, projek ini sedang rancak berjalan ketika kajian hidraulik yang dibuat oleh perunding projek ini masih belum diluluskan oleh JPS kerana beberapa perkara belum diselesaikan oleh perundingnya," kata Raja Bahrin merujuk kepada jawapan yang diberikan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar kepada soalan yang dikemukakannya di Parlimen.
Kajian hidraulik penting untuk memastikan projek yang dibuat tidak mengganggu sistem pengaliran air kerana projek ini dibuat di muara sungai Terengganu yang biasanya akan melepaskan sebarang penambahan air ke laut.
Raja Bahrin berkata, perakuan Kajian Hidraulik mula dikuatkuasakan kerajaan mulai 2008.
"Kami bimbang ia boleh mengganggu sistem aliran air. Tambahan lagi dengan pemanasan global yang menyebabkan cuaca dunia jadi tidak menentu sekarang.
"Jika ia berlaku di Terengganu, saya bimbang hampir keseluruhan bandar Kuala Terengganu ini akan tenggelam.
"Lihat apa yang berlaku di Filipina, China dan Vietnam yang sangat pelik. Kami bimbang jika ia berlaku di Terengganu, sempatkah air yang tiba-tiba banyak dibuang ke laut jika tambakan ini dibuat," kata Raja Bahrin yang juga seorang arkitek terkenal di Kuala Terengganu.
Syed Azman berkata, kebimbangan ini tidak pelik kerana keruntuhan yang berlaku kepada 15 bangunan di Terengganu sebelum ini adalah akibat tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, tambahan pula projek ini kini dikawal oleh JKR dan bukan JPS yang sememangnya bertanggungjawab tentang sungai.
Beliau berkata, rekod JKR di Terengganu pula sangat tidak baik kerana hampir semua 15 runtuhan yang berlaku di Terengganu sebelum ini melibatkan JKR.
15 bangunan yang runtuh di Terengganu adalah:
1. Dewan Saidina Abu Bakar SMK Wakaf Tapai, Marang (12 April 2008, RM2 Juta).
2. Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak ( 2 Jun 2008, RM292 juta).
3. Kolam Renang Batu Burok bocor (5 Jun 2008, RM18 juta).
4. Siling Bumbung Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) tanggal (29 Jun 2008, harga terminal RM123 juta).
5. Pusat Latihan Antarabangsa (ITC), Kemaman runtuh sebahagian balkoni di tingkat lapan.
6. Menara Komunikasi jalur lebar di Kampung Chegar Batang, Besut tumbang (6 Ogos 2009, RM15 juta).
7. Bumbung Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman runtuh (3 Oktober 2009, RM2.1 juta).
8. Bumbung Kaca Terminal Bas Kuala Berang (21 Disember 2009, kos RM700,000 dengan RM4.2 juta kos keseluruhan projek).
9. Bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu runtuh sebahagian semasa dalam pembinaan (29 Mac 2010).
10. Pondok rehat di kawasan lanskap Pasar Besar Kedai Payang runtuh sebaik siap dibina (9 Januari 2011).
11. Papan tanda (sign board) gergasi Pusat Penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu di Bukit Kor, Marang (19 Julai 2012).
12. Tangki Air Sekolah Menengah Paka (24 Julai 2012).
13. Sengkuap bumbung pentas astaka di Taman Bandar Chukai (30 Disember 2012).
14. Kerangka Stadium Sultan Mizan runtuh semasa di baik pulih (20 Februari 2013).
15. Masjid Kampung Binjai Kertas, Kuala Beran
g (20 Mei 2013, RM1.4 juta).
Merujuk kepada kejadian runtuh itu, kedua-dua wakil rakyat ini sedang bergerak ke sana sini bagi memastikan tidak berlaku lagi bencana di Terengganu.
"Bajet tahunan kerajaan negeri Terengganu adalah kira-kira RM2 bilion setahun, kedua tertinggi selepas Sarawak. Ia jauh lebih besar daripada kerajaan negeri Selangor yang paling kaya itu," kata Syed Azman.
Sehubungan itu, katanya, beliau bimbang semua projek itu dibuat sekadar untuk berbelanja bukannya kerana kepentingannya dan yang terlebih bimbang lagi dengan melanggar semua peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. – 11 Oktober, 2013.
0 ulasan:
Catat Ulasan